23 June 2010

:: Kenali Sultan Muhammad Al Fateh...::

Assalamu'alaikum...
Alhamdulillah, sedikit perkongsian tentang latar belakang & sifat Sultan Muhammad Al Fateh.
Selamat membaca.. =)



MUHAMMAD AL FATEH
( Pembebas Constantinople)

Dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Ardianapolis (sempadan Turki-Bulgaria). Menerima pendidikan yang bersepadu. Guru agamanya Syeikh Shamsuddin al-wali (berketurunan sayidina Abu Bakar al-siddiq r.a). Dalam ilmu peperangan, baginda telah diajar taktik dan strategi peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Fasih bertutur dalam tujuh bahasa : Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi, Hebrew. Ayahndanya, Sultan Murad II telah melantiknya sebagai pemangku khalifah semasa baginda berusia 12 tahun dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk (mengasingkan diri untuk bertafakur, menenangkan fikiran) ke Pulau Magnesia.

~Sifat Mukminnya...~
Baginda bersifat tawaduk, rendah diri, tenang, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia. Sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka. Mereka sentiasa membawa ulama ke medang perang bagi membakar semangat jihad tenteranya.
Pada kali pertama solat jumaat hendak didirikan setelah Constantinople dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam.Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapadi antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun dari mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al Fateh Sendiri. Bagindalah yang menjadi imam.

~Sifat Profesionalnya...~
* Dua tahun mengkaji pelan Kota Constantinople pada setiap malam bagi mengenal pasti lokasi kelemahannya.
* Mengarahkan dibina meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300kg sejauh 1 batu.
* Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah. sebagai strategi mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus.
* Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople.
* Menagarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera.
* Mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik didunia oleh para sejarawan Barat sendiri.



19 June 2010

:: Nikmat Itu Akan Dihisab...::

Assalamu'alaikum...

Dikisahkan Atha' Bin Muslim, bersumber daripada Abi Abdurrahman ad-Damasyqi daripada Imam Mak-ul. Dia berkata : Ketika Sulaiman bin Daud duduk di atas permaidani dikelilingi oleh para pegawai kerajaan, tiba-tiba dia memanggil angin. Angin pun datang, membawanya berjalan-jalan bersama para pengawal yang terdiri daripada jin dan manusia. Sedangkan burung-burung di puncak pinus dan pepohonan bersiul menghiburnya, mendengdangkan irama syahdu.

    Sementara di perkampungan ada seorang petani yang sedang mencangkul di sawah, di tepi jalan.
    " Andaikan Sulaiman bin Daud datang ke sini, akan ku sampaikan tiga perkara kepadanya." kata petani itu.

     Allah pun mewahyukan kepada Sulaiman bin Daud  agar menemui petani itu.
     Selanjutnya mak-ul bercerita, bahawa Nabi Sulaiman Bin Daud dengan menunggang kuda datang kepada petani itu.

  "Wahai petani, apakah yang hendak kamu sampaikan kepadaku?". tanya Sulaiman.
   " Siapakah yang memberitahumu,  bahawa aku ingin menyampaikan sesuatu kepadamu?"
   " Allah SWT," Jawab Sulaiman.
   " Aku bersaksi dan percaya terhadap semua itu. Hanya saja kamu sedang berada dalam keadaan yang kau rasakan. Demi Allah, Sulaiman tidak berada dalam kelazatan yang dirasakannya kelmarin, sebagaimana aku tidak berada dalam kesusahan yang kurasakan semalam. Sulaiman tidak akan merasakan kelazatan yang telah dinikmati, sedangkan aku tidak akan pula merasakan kepayahan yang telah aku jalani." kata petani.

   Sejenak kemudian dia berhenti berkata. Dan sambungnya.

    " Satu hal lagi yang hendak aku katakan kepadamu."
    " Apa itu?" tanya Sulaiman.
    " Sulaiman akan mati sebagaimana diriku."
    " Benar kata-katamu," jawab Sulaiman.
    " Masih ada satu hal lagi yang ingin aku sampaikan kepadamu agar dapat mententeramkan dan menyukacitakan hatiku. Iaitu Sulaiman esok akan ditanya tentang nikmat yang sudah diterima sedangkan aku tidak."

   Mendengar kata-kata ini Nabi Sulaiman Bin Daud tertunduk, menangis dan sujud ke hadrat Allah SWT.
     " Ya Tuhanku, jika sekiranya Engkau bukan zat pemberi nikmat, nescaya aku mohon kepada-Mu agar engkau berkenan mencabut nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepadaku."

  Maka Allah SWT berfirman : " Ya Sulaiman, angkatlah kepalamu. Sesungguhnya Aku tidak menganugerahi nikmat kepada hamba-Ku yang nikmat itu kemudian menjadi suatu keredhaan melainkan Aku akan menghisabnya."

  Sulaiman terpegun, tertunduk dan menyedari mendengar tiga nasihat petani itu, sehingga bertambahlah ketakwaannya terhadap Allah Yang Maha Kuasa...


** Moga2 kisah tersebut boleh menjadi pengajaran kepada kita agar kita bersyukur akan nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.. InsyaAllah..

Wallahu'alam...




:: Syirik Besar Dan Syirik Kecil ::

Assalamu'alaikum wbt....

Tajuk yang ana nak kupas  pada kali ialah tentang SYIRIK...

SYIRIK bermaksud Menyekutukan dengan sesuatu makhluk atau mempercayai bahawa adanya kuasa lain yang lebih berkuasa dari Allah SWT. Orang yang melakukan syirik itu disebuat sebagai "Musyrik".

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu :

1. Syirik Akbar/Kabir
   = Iaitu menyekutukan Allah dengan sesuatu makhluk dan mempercayai ada kuasa lain daripada kuasa Allah SWT. Syirik Akbar juga apabila seseorang menyembah selain daripada Allah SWT atau memperlakukan sesuatu benda yang bukan manusia, umpamanya kubur, tempat keramat, pokok, patung, pedang dan sebagainya sebagai tuhan. Menghormati dan memuja benda-benda tersebut serta merasakan dirinya lebih rendah dari benda itu atau memohon perlindungan dan keselamatan daripada benda-benda tersebut.
 
= Syirik Akbar ini merupakan dosa besar yang menyebabkan seseorang masuk ke dalam neraka buat selama-lamanya. Tidak diampun dosa stirik itu melainkan dia bertaubat. Firman Allah SWT yang bermaksud :
           " Sesungguhnya Allah tidak memberi keampunan terhadap orang yang mempersekutukan-Nya (syirik) dan akan  mengampunkan dosa yang selain daripada dosa (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya." ( Surah an-Nisa' : 116 )
   
= Syirik Akhbar atau Syirik I'tiqadi' ini akan menyebabkan seseorang terkeluar dari agama islam.


 2.  Syirik Asghar
   = Iaitu  Syirik kecil atau syirik amali. Syirik jenis ini tidak menyebabkan seseorang terkeluar dari agama islam. mengenai syirik asghar, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya :
           " Bahawa sesunggunhya jampi-jampi ( yang bukan menggunakan nama Allah atau doa-doa yang mulia yang diterima dari Nabi) dan memakai azimat adalah syirik.
  
= Termasuk syirik asghar juga ialah apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu amal ibadat kerana riak atau menunjuk-nunjuk seperti sembahyang kerana malukan isteri atau mahu dipuji...

Wallahu'alam...

14 June 2010

Bulan Rejab Bulan Keampunan....

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamu'alaikum...


Rejab bulan menabur benih,
Syaaban bulan menyiram tanaman,
Ramadan bulan menuai.

Rejab menyucikan badannya,
Syaaban menyucikan hatinya,
Ramadan menyucikan rohnya.

Rejab bulan keampunan,
Syaaban bulan syafaat,
Ramadan bulan menggandakan kebajikan dan amalan.

Rejab bulan taubat,
Syaaban bulan muhibah,
Ramadan bulan diliputi pahala yang banyak.

Rejab diganda 70 pahala,
Syaaban diganda 700 pahala,
Ramadan diganda 1000 pahala.

**(Pujangga Arab Mengenai Kelebihan Bulan Rejab)


REJAB datang kembali menemui umat Islam. Bulan ketujuh dalam kalendar Islam ini mempunyai keistimewaan tersendiri sebagaimana yang dijanjikan Allah seperti yang terkandung dalam Al-Quran.

Rejab mempunyai empat makna iaitu takzim (kebesaran, keagungan dan kemuliaan), rahmah (bulan yang penuh dengan rahmat Allah), Jud’un (pemurah) dan Birr’un (kebajikan).

Pada bulan ini, Allah dengan segala sifat kebesaran dan kemuliaanNya mencurahkan rahmat kepada hambaNya yang memohon keampunan dan mengharapkan keredhaanNya dengan tulus ikhlas.

Allah sangat suka kepada hambaNya yang banyak mengerjakan ibadat sunat, sunah Rasulullah seperti mengerjakan qiamullail (berjaga malam menunaikan sembahyang sunat hajat, tahajud, tasbih, taubat dan witir), memperbanyakkan doa, berzikir, bertahmid, bertakdis dan bertakbir. Pada bulan ini dibuka seluas-luasnya pintu kebajikan kepada hamba yang melakukan ibadah infaq (bersedekah) dan tolong-menolong.

Umat Islam digalakkan berpuasa sunat dan beribadat pada malam hari dan mereka ini Allah menjanjikan akan mendapat kelebihan di sisi-Nya.

Mereka juga sangat dituntut memperbanyakkan ibadat pada malam dan siang 27 Rejab.
Istimewanya 27 Rejab ialah hari peristiwa Israk Mikraj kepada Rasulullah S.A.W. Pada malam itu, baginda diangkat ke siddaratul muntaha (langit ketujuh) bertemu secara langsung dengan Allah. Dengan izin Allah, baginda melihat keadaan syurga dan neraka dan bagaimana umatnya serta umat yang terdahulu menerima ganjaran kebajikan dan pembalasan dosa yang mereka lakukan di dunia.

Ketika bertemu Allah, Rasulullah S.A.W. juga diperintah mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam yan mulanya diwajibkan sebanyak 50 waktu.

Inilah keriangan yang paling tinggi daripada Allah kepada Rasulullah dan umatnya hingga ke hari kiamat.
Berpuasa sunat pada bulan Rejab banyak kelebihannya. Sabda Nabi Muhammad S.A.W., bermaksud: “Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan 1000 kemuliaan pada hari kiamat.”

Sabdanya lagi: “Bulan Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan bulan Ramadhan bulan umatku.”

Disebutkan dalam hadis Rasulullah S.A.W., kemuliaan Rejab dengan malam Israk Mikraj (27 Rejab), Syaaban dengan malam Nisfunya dan Ramadhan dengan Lailatul-Qadarnya.

Malam awal Rejab mustajab dengan doanya (disebutkan dalam kitab Raudhah Imam Nawawi). Sahabat Rasulullah berkata, “Allah telah memilih kelebihan di atas sesuatu yang dijadikan-Nya. Allah memilih binaan yang paling baik binaannya iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.

Allah memilih kemuliaan di antara bulan iaitu bulan Ramadhan. Allah memilih di antara hari yang terbaik dari segala hari iaitu hari Arafah di mana umat Islam berkumpul di padang Arafah untuk mengerjakan haji.

Allah memilih Nabi Muhammad S.A.W., penghulu segala nabi. Allah memilih malaikat Jibrail, penghulu segala malaikat. Pertolongan yang besar adalah syafaat Rasulullah S.A.W. kepada umatnya. Hamba terbaik ialah yang bangun di tengah malam beribadat dengan penuh khusyuk, memohon keampunan dan menyucikan dosanya.

Bulan ini juga sebagai latihan jasmani dan rohani umat Islam sebelum menempuh Ramadhan yang bakal
mendatang. Ibadat sunat yang dilakukan sepanjang bulan ini juga gunanya untuk menampung ibadat fardu yang tidak sempurna yang kita buat sehari-hari itu.

Amalan pada Rejab memang banyak ganjarannya. Berpuasa dan bacalah tasbih ‘Tiada Tuhan melainkan Allah sebelum tiap-tiap sesuatu Tuhan melainkan Allah sesudah tiap-tiap sesuatu, tiada Tuhan melainkan Allah, kekal Tuhan kita dan binasa tiap-tiap sesuatu sebanyak 10 kali setiap hari.

Sembahyang sunat mengiringi dan sesudah sembahyang fardu. Sembahyang sunat Israk, Dhuha dan Tasbih. Berdoa memohon keampunan dan taubat, minta diterima amalan ibadat, minta selamat dunia akhirat, minta dilepaskan dari azab-Nya di akhirat, minta dimasukkan ke syurga dan minta dicurahkan rahmat.

Perbanyakkan bersedekah dan berzikir Lailahaillah, Allahuakbar 100 kali selepas sembahyang subuh dan asar. Bertasbih Subhana robbial’ala (Maha Suci Tuhan Yang Maha Tinggi) 100 kali. Subhanallahi wabihamdih, subhanallahi azim (Maha Suci Allah dan Dengan Segala Pujian-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung) sebanyak 100 kali.

**sumber oleh : Ukht Intan Martina

12 June 2010

Tazkirah: Iman Cermin Peribadi setiap Insan...

Bismillah...
Assalamu'alaikum..

Disini ana ingin berkongsi sedikit tazkirah tentang IMAN.. Moga menjadi panduan kita bersama sebagai manusia yang sentiasa lalai dan semoga IMAN kita boleh menjadi cermin kepada diri kita sendiri.. Insya-Allah..

ALLAH SWT hanya akan menilai apa yang diperbuat dan dilakukan seseorang sebagai balasan dan bekalan pada hari kemudian kelak.


Sehubungan itu,orang tidak akan menilai lagi apa yang terpendam dalam hati seseorang. Sebaliknya, apa yang dizahir dan dilahirkan melelui anggota tubuh badan yang juga cerminan apa yang tersemat dalam hati itulah yang akan menjadi neraca penilaian.

Oleh itu , amalan tidak beretika dan tidak bermoral yang semakin berleluasa dalam masyarakat adalah isyarat hati yang ketandusan nilai kerohanian yang luhur dan jauh daripada prinsip ajaran Islam sebenar.

Pernah berlaku satu peristiwa seperti di riwayatkan oleh pasal bin Sa’ad yang berkata: “Ada seorang lelaki yang lalu melewati hadapan Rasulullah SAW lalu melewati hadapan Rasulullah SAW, lalu Baginda bertanya kepada sahabat yang duduk di sebela Baginda: Apakah pendapatmu mengenai orang ini?

“Maka sahabat itu pun berkata: Dia adalah seorang lelaki dari kalangan terhormat. Demi Allah! Orang ini sangat layak untuk dinikahi jika dia datang melamar, diberi syafa'at jika dia meminta syafaat.

“Rasulullah pun diam seketika. Kemudian, datang pula seorang lelaki melewati hadapan Baginda. Baginda kembali bertanya: Apakah pendapatmu tertang orang ini pula?

“Lantas sahabat itu pun berkata: Wahhai Rasulullah! Dia ini adalah dari kalangan orang fakir miskin. Dia ini sememangnya layak ditolak jika datang melamar, tidak layak diberi syafaat jika dia meminta dan juga tidak layak diberi perhatian jika dia berbicara.

“Maka Rasulullah bersabda yang bermaksud: Orang ini (yang kedua) jauh lebih baik daripada orang yang pertama tadi.”

Jelas daripada kisah yang dipaparkan di atas bahawa nilai dan taraf seseorang manusia bukannya diukur daripada kebesaran rupa lahiriyahnya. Begitu juga bukannya daripada kekayaannya, kemuliaan nasab keturunannya, keterampilannya yang menarik dan kemasyhuran atau ketinggian pangkatnya di kalangan manusia ramai.

Sebaliknya, neraca piawaian sebenarnya di sisi Allah SWT ialah sepohon iman yang bertapak kukuh di dasar hatinya dan buah amal yang dihasilkan oleh pepohon iman yang dibajai dengan keikhlasan. Begitu juga dengan ketakwaan dan ketundukan yang penuh tulus ke hadrat Allah SWT.

Tidakkah Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Sesunggunya semulia-mulia kamu di sisi kamu ialah orang yang lebih takwanya antara kamu (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya)."

** Bagaimana pula dengan IMAN kita...?? Tepuk dada tanya IMAN...

       *untuk diriku dan juga dirimu
       * "sampaikan pesananku walau 1 ayat." (hadith Rasulullah)

10 June 2010

~Renungan buat yang bergelar MUSLIMAH......~




Assalamu'alaikum wbt....

Disini, ana ingin sekali berkongsi artikel untuk renungan kita bersama khususnya buat para muslimah sekalian, termasuk diri ana sendiri.. Sama-sama kita ambil sebagai renungan & pengajaran buat diri kita.. InsyaAllah ye.. hehehe.. 

Kata orang "bila dah sayang, semuanya indah belaka".Dengan perkataan lain , sesuatu yang indah itu tidak dapat diukur dengan satu alat pengukur, seperti kata orang alam ini indah, bergantung kepada rasa dan pandangan masing-masing, bergantung kepada rasa dan pandangan orang yang mengatakannnya. Oleh itu sesuatu yang indah, ukurannya terletak kepada orang yang bersangkutan sahaja. Jika seseorang itu tergoda dengan seorang perempuan dan merasakan bahawa perempuan itu amat cantik tetapi adalah mungkin orang lain tidak merasakan sedemikian.Oleh kerana itu pemuja kecantikan adalah fitnah dan memburunya akan membuka jalan-jalan fitnah yang lain.

Antara para penyair dan para solihin serta muttaqin mereka tidak sependapat dalam memandang dan menilai sesuatu objek yang indah, namun kedua-dua golongan ini sependapat bahawa keindahan itu adalah sesuatu yang menarik dan disukai.Titis embun yang melekat pada bebungaan , oleh penyair boleh dianggap sesuatu hal yang indah yang
diciptakan sedemikian rupa olah kuasa langit.Manakala bagi para solihin dan muttaqin memandang akan hal itu sebagai bukti bahawa tumbuhan juga berzikir dan beribadat kepada Khaliknya… Seperti inilah pandangan dan penilaian seseorang terhadap keindahan bergantung kepada penerimaan hati dann perasaan seseorang.

Berbicara soal keindahan sebenarnya kita tidak dapat menyangkal pengertian keindahan yang terdapat pada diri wanita dan daya tarikan yang ada pada mereka. Ramai penyair yang tertarik dengan suara wanita, terkadang mereka tenggelam memuji dan memuja wanita. Lihat sajalah lirik-lirik lagu yang banyak memuji kecantikan seseorang wanita, sedang Islam menegaskan bahawa suara wanita itu adalah aurat yang mesti ditutup dengan diam, kerana suara mereka kunci hati lelaki yang dapat membuka pintu untuk pelbagai fitnah.


Kerana sebab yang sama, Allah melarang perempuan melembutkan suara mereka di hadapan lelaki, sebab suara yang demikian akan mengundang reaksi yang tidak baik di hati lelaki yang mengidap penyakit. Yang dimaksudkan dengan hati yang sakit ini bukanlah kerana urat-urat darah yang tidak berjalan lancar atau radang paru-paru yang selainnya daripada penyakit jasmani(fizikal), akan tetapi ia adalah hati yang dihuni oleh penyakit syahwat, yang apabila ada sedikit sebab sahaja ia pun bergelora dan terangsang ingin menerkam sahaja.


Kalau mata suka memandang kepada sesuatu yang indah dan molek, telinga pula suka mendengar suara atau bunyi yang merdu dan manja serta sedap didengar. Buktinya lihat sahajalah bagaimana perhatian lelaki apabila mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi perempuan.


Ramai lelaki yang menghafal banyak senikata lagu tetapi tidak boleh menghafal bacaan sembahyang. Seorang penyair buta, Basyar bin Baroh bermadah, "Wahai teman, cinta bukan milik sebahagian orang, cinta bukan bagi orang yang celik sahaja tapi ia juga dimiliki oleh orang yang dapat mendengar kerana telinga lebih dahulu mencintai daripada mata".


Jadi fitnah yang ditimbulkan oleh suara itu tidak terbatas hanya pada suara penyanyi perempuan sahaja tetapi ianya juga boleh timbul daripada semua suara perempuan. Sehingga ketika dalam solat pun wanita tidak boleh mengangkat suara sekiranya imam (imam lelaki) tersalah bacaannya tetapi disuruh menepuk tangan sahaja. Suara wanita
itu ditakuti mengganggu kekusyukan orang lain. Sesungguhnya, nabi Muhammmad SAW telah memperingatkan fitnah suara wanita ini dengan sabdanya:
" Sesiapa yang duduk mendengar suara perempuan menyanyi pada hari
kiamat kelak telinganya akan disumbat dengan ini (benda cair)". Kerana biasanya lagu itu akan menggerakkan nafsu yang ada dalam hati seseorang dan ini akan menghalang seseorang itu daripada mengingati Allah dan bersembahyang. Kemudian membuatkan seseorang itu suka kepada perkara-perkara yang haram. Bergurau senda dengan perempuan adalah satu sebab paling kuat untuk mendengar suara mereka , suara yang menjadi pesona luar biasa bagi lelaki.

Kerana tertariknya mereka kepada suara perempuan maka mereka memandangnya sebagai satu perkara yang harus dipuja. Apakah hal ini bukan fitnah namanya? Kebanyakan wanita setiap kali bercakap akan diikuti dengan senyuman. Ini adalah adat mereka. Dengan cara ini barangkali mereka merasa harga diri mereka terjaga. Ini juga fitnah yang dahsyat.


Sekarang kita berpindah dari fitnah suara dan perkataan kepada fitnah mata dan pandangan, dari fitnah yang boleh bercakap kepada fitnah bisu. Adakalanya kebisuan itu lebih bermakna daripada ratusan kata-kata. Ada sesetengah perempuan gemar bercakap dengan lelaki,
mereka tidak merasakan ianya satu kesalahan. Di samping bercakap dengan mulut, mereka juga bercakap dengan pandangan dan isyarat mata.


Ada juga wanita yang tidak gemar bercakap dengan lelaki, cukup dengan pandangan mata mereka sahaja. Rupa-rupanya kepandaian bercakap dengan mata ini adalah sifat yang dimiliki oleh semua wanita.Tidak ada pengecualian antara mereka yang pemalu atau tidak.Hubungan antara mata dan hati adalah hubungan yang tidak dapat disembunyikan. Apa yang terdetik di hati, akan kelihatan di mata.


Di dalam al-Quran telah digambarkan bahawa selamanya hati dengan mata mempunyai hubungan yang rapat. Allah mengatakan bahawa setiap yang tersembunyi di relung hati dan yang terkandung pada mata adalah jelas dengan ilmuNya. Firman Allah yang bermaksud:
"Allah mengetahui pengkhianatan mata dan apa yang tersembunyi di dalam hati".

Yang menjadi fitnah bukanlah kerana mata perempuan itu indah dan mempersonakan sahaja, bukan pula kerana perempuan itu mempunyai bulu mata yang panjang dan alis yang lentik sehingga mudah menerobos ke dalam tanpa izin , bukan pula kerana anak mata hitam pekat berkilat atau kebiru-biruan. Yang sebenarnya fitnah itu adalah kemampuan wanita itu menggunakan matanya dalam menyatakan keinginan hatinya, melontarkan pandangan yang lembut seolah-olah ia mengajak dan memanggil lelaki.


Agar tidak terpengaruh oleh kecantikan dan pesona mata perempuan , Islam menyuruh supaya jangan memandang mereka dengan arahan supaya kaum muslimin dan muslimat agar menundukkan pandangan mereka. Kerana memandang sesuatu yang menarik hati akan mudah jatuh cinta kepadanya. Demikian juga kaum wanita, diperintah agar tidak memandang kaum lelaki dan mengelakkan diri daripada dipandang oleh lelaki. Oleh kerana itu, dia sendiri merupakan fitnah yang berganda. Pertamanya, kecantikannya akan menggoda hati lelaki dan keduanya pandangan matanya mengisyaratkan apa yang diingini hatinya.


Perempuan juga memiliki kuasa sakti yang menggoncang perasaan lelaki dengan hanya melepaskan pandangannya kepada lelaki. Dengan matanya perempuan boleh menundukkan lelaki dan jatuh cinta kepadanya. Tidak ada hati lelaki yang tidak luluh apabila perempuan memandangnya dengan mata yang bercahaya penuh kerinduan atau dengan mata yang
digenangi air mata. Sepasang mata perempuan adalah fitnah.


Adakalanya ia menggunakannya dengan pandangan yang lembut dan jernih, adakalanya dengan lelehan air mata. Dengan kedua-dua cara ini mereka boleh mencapai hasrat mereka. Kata orang , fitnah yang timbul dari mata dan suara sama-sama merbahaya kerana perempuan tahu mereka memiliki kedua-dua senjata ini. Mereka kadang-kadang tidak memakainya kepada yang disuruh iaitu suami mereka tetapi menggunakannya untuk lelaki lain.

Oleh itu Islam melarang mereka memandang benda-benda haram seperti wanita memandang lelaki ajnabi dan juga sebaliknya kerana pandangan itu lamanya cuma satu atau dua saat tetapi kesannya kekal di dalam hati sepanjang hayat.


Salah satu yang menarik perhatian lelaki pada diri seseorang perempuan adalah dandanan rambutnya. Perempuan tahu akan hal ini. Oleh itu perempuan berusaha menyisir dan membentuk rambut mereka supaya lebih menarik minat dan perhatian kaum lelaki. Selalunya perempuan berhias itu adalah bertujuan untuk mempamerkan kecantikannya
terutama kepada lain jantina dan ia merasa megah apabila dipuji oleh lain jantina akan kecantikannya itu.


Apabila suara wanita yang lembut dan intonasi yang sedap didengar mampu menggetarkan hati lelaki, mata yang dicelak dapat menundukkan hati lelaki maka rambut yang cantik dapat menawan hati lelaki.


Oleh kerana itu Islam mewajibkan kaum wanita memakai hijab..menutup aurat. Dengan menutup aurat maka kaum wanita akan terpelihara daripada dosa dan noda serta fitnah, juga ia meletakkan wanita pada tempat yang selamat dari penglihatan kaum lelaki yang ada penyakit di dalam hatinya. Rasullullah bersabda yang bermaksud, "Ada dua golongan yang bakal menghuni neraka di mana belum pernah aku melihatnya, iaitu golongan yang memiliki cambuk seperti ekor lembu, mereka memukul wanita dengannya dan wanita yang berpakaian seperti telanjang , memereng-merengkan kepalanya seperti bonggol unta. Mereka ini tidak masuk syurga, tidak mencium bau syurga dan sesungguhnya bau syurga itu boleh dicium dari jarak yang sangat jauh".


Sesungguhnya kita sebagai wanita muslimah yang mempunyai agama dan maruah diri, janganlah kita melakukan sesuatu untuk memuaskan nafsu semata-mata, tetapi ingatlah bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara sedang yang kekal hanyalah Allah dan kehidupan yang kekal adalah kehidupan akhirat yang mana telah dijanjikan oleh Allah SWT
kenikmatan syurga yang tiada tolok bandingnya bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah…

Wallahu'alam....

07 June 2010

- Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul -



Assalamu'alaikum....

Pernah tengok buku diatas...?? Sudah baca buku tersebut...?? Ana pasti ramai yang sudah membacanya dan kemungkinan ada juga yang belum memiliki buku tersebut... Alhamdulillah, ana sudah habis membaca buku tersebut dan segala isi didalamnya, sangat2 berharga buat diri ana sebagai remaja yang hendak meningkat naik ke stange yang seterusnya, InsyaAllah.. Mudah2an sedikit sebanyak dapat kita ambil pengajaran dan ilmu yang bermanfaat hasil tangan Ukht Fatimah Syarha.. InsyaAllah...

Melihat sahaja tajuk dibahagian cover buku ini, sudah menjadi tarikan bagi sesiapa yang meminatinya.. Begitu juga dengan ana.. Bahkan ana rasakan tidak puas membacanya dek kerana kulitnya yg nipis walhal isi didalamnya begitu indah sekali... Ramai juga sahibah ana yang memberi komen, mengatakan buku ini nipis dan tidak puas rasa untuk membacanya... Moga ada buku " Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul 2.".. InsyaAllah... :)


Bingkisan ini dikongsi khas oleh penulis kepada :

* Buat adik-adik remaja yang baru mengenali cinta,
- Ketahuilah, bingkisan ini ingin membenihkan sebuah impian padamu agar memelihara kesucian cinta yang kerap teruji di alam remaja, dengarilah pesanku, Cintailah Allah, nescaya cinta pasangan soleh turut kau miliki,

* Buat bakal-bakal pengantin baru,
- Ketahuilah, bingkisan ini ingin memberikan gambaran kepadamu tentang hari-hari awal pernikahan supaya kau lebih bersedia membuat persiapan.
- Ketahuilah, bingkisan ini ingin membuktikan padamu bahawa kebahagiaan itu bermula apabila kau menjaga keberkatan pertunanganmu.

* Buat para Suami,
- Ketahuilah, bingkisan ini menyingkap tip untuk memenangi hati isterimu.

* Buat para Isteri,
- Ketahuilah, bingkisan ini akan memotivasikan suamimu untuk lebih kreatif membahagiakanmu dan mencuit kebijaksanaanmu untuk membahagiakannya..

* Buat Ibu Bapa,
- Ketahuilah, bingkisan ini berguna untuk menyemarakkan cintamu di alam rumah tangga, dan berguna untuk anak-anakmu membina paradigma baru agar tak tertipu mengejar cinta sebelum berkahwin..

p/s: Bagi sesiapa yang masih belum berkesempatan untuk memiliki buku tersebut, apa lagi..??? Terjahlah kedai buku yang berdekatan dengan anda... hehehe... Memang best & rugi kalau tidak memilikinya... InsyaAllah berbaloi bila dibeli.. hehehe.. Boleh juga beli secara online disini ... Syukran...!

01 June 2010

Doakan aktivis Lifeline 4 Gaza ( LL4G) tiba di Gaza....


Assalamu'alaikum sahabat....

Wahai sahabat ku sekalian, ayuh sama-sama kita mendo'akan serta membuat solat hajat agar aktivis kemanusiaan ( lebih kurang 800 orang), yang menaiki 8 buah kapal menuju ke Gaza, Palestin diselamatkan dan dilindungi Allah swt daripada kekejaman Zionis Israel Laknatullah....

Ayyuhal Ikhwan...! ayuh segera kita satukan doa-doa kita untuk dikirimkan buat mereka...

Untuk maklumat lanjut tentang perjalanan/info terkini, boleh lawati di sini :
    
               *     http://www.lifeline4gaza.org/  
                      ( LL4G)
           
              *    http://haluanpalestin.haluan.org.my/?p=3795 
                    (Haluan Malaysia)