20 July 2010

~ Doa Buat Bakal Zauj...~


YA RABBI


Aku berdoa untuk seorang lelaki, yang akan Kau pilih menjadi sebahagian daripada hidupku
Berilah aku,
Seorang lelaki yang sungguh mencintaiMu lebih dari segala sesuatu
Seorang lelaki yang akan meletakkanku pada kedudukan kedua di hatinya setelah Engkau
Seorang Lelaki yang menjadikan Perjuangan sebagai isteri pertamanya
Seorang lelaki yang hidup bukan untuk dirinya sendiri tetapi untukMu
Seorang lelaki yg mempunyai sekeping hati yg sungguh mencintai dan dahaga akan Engkau dan memiliki keinginan untuk menauladani sifat-sifat agung kekasihMu

Seorang lelaki yang mengetahui bagi siapa dan untuk apa dia hidup, sehingga hidupnya tidaklah sia-sia
Seorang lelaki yang memiliki hati yang bijak bukan hanya sekadar otak yang cerdas
Seorang lelaki yang tidak hanya mencintaiku tetapi juga menghormatiku
Seorang lelaki yang tidak hanya memujaku tetapi sentiasa menasihati ketika aku berbuat salah
Seorang lelaki yang akan mendidik diriku menjadi seorang muslimah
Seorang lelaki yang akan menguatkan lagi agama di dalam hatiku
Seorang lelaki yang mencintaiku bukan kerana kecantikanku tetapi kerana hatiku
Seorang lelaki yang dapat menjadi sahabat terbaikku dalam tiap waktu dan situasi
Seorang lelaki yang dapat membuatku berasa sebagai seorang wanita ketika berada di sisinya
Seorang lelaki yang memerlukan sokonganku sebagai peneguhnya
Seorang lelaki yang memerlukan doaku untuk kehidupannya
Seorang lelaki yang bercita-cita untuk syahid
Seorang Lelaki yang sentiasa menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w
Seorang lelaki yang memerlukan diriku utk membuat hidupnya menjadi sempurna Dan aku memohon ya ALLAH..

Berikan aku sekeping hati yang sungguh mencintaiMu, sehingga aku dapat mencintainya dengan cintaMu, bukan mencintainya dengan sekadar cintaku,berikn kepadaku tangan supya aku mampu berdoa untuknya,kurniakn aku mulut yang penuh dengan kata-kata kebijaksanaanMu dan pemberi semangat kepadanya AMIN YA RABBAL ALAMIN

Bukan harta yang ku perlukan.. bukan keturunan yang menjadi keutamaan.. bukan paras rupa yang ku idamkan.. tetapi kefasihan agama dan semangat juangmu dalam menegakkan kalimatul Haq itu yang kudambakan.. itulah hikmah sekufu yang menjadi asas usrah muslim antara aku, dirimu dan zuriat pewaris ketauhidan Islam dalam mengEsakan ALLAH yang satu..Diriku ibarat rusuk nan rapuh & bengkok, perlu berhati-hati utk meluruskanya. Lantaran itu, jgnlah kau hadir utk menunjuk cengkaman kuku tajam di kaki, jgn juga mengugut dgn paruh berbisa. Hadirlah dgn setulus semangat di hati, bahawa antara kita perlu sentiasa perbaiki diri. Diriku TIDAKlah.. sesuci Maryam, seteguh Asiah, setulus Khadijah, setabah Fatimah.. aku hanya wanita akhir zaman yg berusaha menjadi solehah. InsyaAllah..



Sumber Asal : Disini

06 July 2010

~ sEmaNis rEdHa... ~




Di hening malam, seorang hamba Allah bangun menghidupkan malamnya. Pada rembulan yang menyinar terang di hujung langit, ada bebintang yang turut melirikkan cahaya. Subhanallah, keindahan yang Allah serikan di malam gelita tidak ramai yang mampu menikmatinya. Tatkala manusia berbondong-bondong melayan mimpi indah dan selimut yang menutupi jasad dan hati mereka, ada hati-hati yang digerakkan Allah, ada jiwa-jiwa yang tergerak untuk Allah. Alangkah bahagianya mereka yang sentiasa berusaha mendapatkan cinta dan kasih-sayang Allah.


"Anakku sayang, qiyamullail itu penawar terbaik untuk menggembur iman, menyubur hati, penyeri jiwa yang lemah bahkan menjadi penggerak sendi dan saraf yang bakal menyegarkan jasadmu. Insya Allah, wuduk yang membasahi tubuh di kala hening akan memberi kesegaran buat jasad dan emosi."

Ibu membelai halus jemari Hannan, aku melihat dari sisi. Terasa kehangatan kasih sayang ibu menyusup di celahan jari Hannan. Dari kejauhan tampak bundar matanya bersinar, alhamdulillah. Hannan perlu dimotivasikan bukan sekadar sudut duniawi tetapi rohnya perlu disuntik dan tiada penawar yang paling mujarab selain penawar dari Nya.

"Insya Allah ibu."


*************

Senyuman dilemparkan biarpun tiada seri di wajah. Hambar. Pucat lesi wajahnya sesuai dengan keadaan diri Hannan yang kritikal. Doktor Muhammad Aqil, neorologist terkemuka di Malaysia sudah mengangkat kedua tangan, bukan menyerah pada takdir namun badan Hannan sudah ampuh, tidak lagi memberi reaksi kepada ubat-ubatan dan vitaman yang diberikan malahan semuanya seakan-akan tidak mendatangkan kesan.

"Puan Humaira, Encik Muaz, saya harap encik dan puan akan menerima berita ini dengan berlapang dada. Keadaan Hannan semakin memburuk, pengalaman saya dalam bidang ini... Hannan punya sekitar 2 hingga 3 bulan untuk bertahan."

Ayah dan ibu terdiam, aku memandang keluar tingkap.

'Ya Allah, kurniakanlah kekuatan buat ibu dan ayah.'

"Saya cadangkan Encik Muaz untuk memberi keizinan pihak kami supaya memberi kerehatan buat Hannan." Doktor Muhammad Aqil memandang tepat di muka ayah.

"Kerehatan yang bagaimana?" Ayah menyoal.

"Kami mencadangkan untuk membiarkan Hannan koma seketika sehingga keadaannya stabil. Tekanan darahnya yang meningkat dan menurun secara mendadak mengkhuatirkan saya, kesakitan yang Hannan alami mungkin tidak tertanggung lagi. Dalam keadaan koma, Hannan akan lebih 'rileks' tanpa tekanan menahan sakit." Doktor tua itu memberi cadangan dan penerangan terperinci tentang keadaan Hannan.

"Saya tak setuju!" Ibu dan ayah serentak menjawab.

'Koma?'

Jauh di hati, hiba melihat Hannan mengerang kesakitan namun di sisi hati yang lain masih mengharap sinar mata Hannan akan terus terbuka, sinar di mata Hannan akan memberikan sinar di hati ibu dan ayah juga aku.

"Hannan, jangan mengalah dik... Terus dan terus yakin dengan Allah." Hanani menggenggam erat tangan kembarnya, dialah permata dan ratu di hati, kami sentiasa bersama dari alam rahim sehingga kini. Berpisah dengan Hannan sama seperti sebahagian diriku dibawa pergi.

Setelah keadaan Hannan pulih sedikit, ayah dan ibu meminta keizinan dari doktor agar Hannan di bawa pulang. Kepulangan Hannan jauh lebih baik buat psikologi dan keadaan fizikalnya berbanding hospital. Semoga Hannan tabah menghadapi ujian dari Allah.

*************

Dalam gelap zulumat malam, tergerak kecil jasad lemah itu... Menarik kain yang menyelimuti jasadnya, kakinya di atur perlahan setapak demi setapak langkah. Dalam keadaan lemah dan kesakitan yang menjalar pada setiap saraf, harus dikuatkan hati untuk bangkit. Kaki yang tidak mampu menapak, akhirnya Hannan merangkak perlahan menuju ke tandas. Pintu tandas dikuak perlahan, paip dibuka kecil dan airnya menyoroti bahagian kecil tubuh Hannan.

'Subhanallah, sejuknya.'

Selesai berwuduk, Hannan mengemaskan langkahnya. Biarpun dalam keadaan merangkak, Hannan bersimpuh rapi di hujung sudut kamarnya. Dengan sinaran rembuhan dari celahan jendela menyinari ruang kecil kamarnya. Cicipan sang cengkerik memberi irama yang turut sama menghidupkan malam bersama Hannan.

Gerakan lemah dan perlahan tubuh kecil yang kesakitan itu, solat didirikan dalam keadaan duduk menghadap kiblat.

Dari kamar ibu, terdengar gayungan air membasahi lantai. Barangkali ibu dan ayah juga sedang merapikan diri untuk menghidupkan malam dengan solat berjemaah. Keluarga kecil yang sederhana, beratapkan langit rahmat Ilahi dan berlantaikan qanaah pada Rabbi, mereka hidup dengan acuan al-Quran dan sunnah Rasulullah. Biar ujian membadai kehidupan, biar ombak menghempas pantai hati segalanya diserahkan pergantungan kepada al-Khaliq, tidak sedikitpun menggoyahkan iman yang dipaut kukuh kepada Allah.

Hannan istiqamah menghidupkan solat tahajud, dihiasi solat taubat dan solat hajat yang menghiasi malam-malamnya berteman bebintang yang turut menghiasi langit dunianya, Hannan terus menghiasi langit hatinya.

***********

"Yakinlah Allah, bersangka baiklah pada Allah. Allah adalah apa yang Hannan sangkakan, kalau Hannan meyakini pertolongan Allah maka bersungguhlah meminta pertolongan dari Allah. Kalau Hannan merasa lemah, maka Hannan akan lemah. Ingat, jangan lupa pada kasih sayang Allah." Ayah mengelus lembut ubun-ubun Hannan, sesuap bubur nasi ditelan perlahan pada kerongkong Hannan. Perit sekali rasanya.

"Hannan masih ingat cerita ibu tentang kisah penggunting rambut yang suka bertanya soalan-soalan yang menguji keimanan orang Islam?" Jari ayah masih mengelus ubun-ubun Hannan sambil ibu menyuapkan bubur nasi.

Hannan menggangguk lemah, sinar matanya sentiasa bercahaya.

Penggunting rambut bertanya kepada seorang muslim, "bagaimana kamu meyakini Allah sedangkan kamu tidak melihat Allah, di sini dan sana ada manusia yang kelaparan, manusia saling bermusuhan dan peperangan rancak dilancarkan?" apa yang dijawab oleh muslim itu bukanlah pada sudut kerohanian tetapi mengikut logika fikiran. "Bagaimana kalau aku mengatakan bahawa di dunia ini tiada penggunting rambut?"

Maka, terkejutlah penggunting rambut itu. "Kenapa engkau berkata begitu?" Maka jawab muslim itu, "Kerana di luar sana ada yang kusut masai tidak terurus rambutnya. Ada yang rambut panjang." Penggunting rambut itu menukas, "Kamu salah, aku kan penggunting rambut. Mereka yang tidak datang kepada aku untuk dirapikan."

Maka muslim itu tersenyum, "Begitulah umpamanya. Bukan Allah itu tiada tetapi manusia itu tidak pergi kepada Allah, tidak meminta pertolongan dari Allah, tidak mendekatkan diri kepada Allah, tidak mengamalkan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Bukan Allah tiada tetapi manusia yang tidak mendekati Allah." Penggunting rambut itu pun terus terdiam.

Ibu tersenyum mendengar Hannan mengulang kembali kisah tersebut. Seingatnya, kisah tersebut diceritakan sewaktu Hannan dan Hanani masih kecil namun kiasan kisah itu diingati anak-anaknya sehingga kini. Alhamdulillah.

***********

Hanani mendakap erat tubuh Hannan, Hannan sudah mampu berdiri walau sekadar beberapa minit. Tiada ubatan yang menyakitkan menjalar di urat tangan Hannan, tiada ubat yang membuat Hannan menangis. Hanya terapi solat tahajud secara istiqamah dan alunan kalamullah yang sentiasa menemani, Hannan disembuhkan Allah dengan cara dan kehendak Nya.

"Ayah nak tahu, Ustaz Kamil bagitau Hanani... 'Dalam setiap ayat al-Quran itu penawar. Setiap ayat al-Quran mampu menggetarkan bahagian saraf tertentu pada tubuh kita. Apabila lengkap 30 juzuk yang dibaca, maka lengkaplah getaran pada setiap saraf pada keseluruhan tubuh kita.' Jadi, kalau kita yakin al-Quran itu penawar zahir dan batin maka kita bersungguh-sungguh membaca dan mengamalkannya insya Allah kita akan sihat. Terapi solat tahajud umpama mengecas 'elektrik' dalam badan kita. Ibu nak tahu, kalau kita mandi awal pagi sebelum solat tahajud ianya lebih membuatkan badan kita sihat! Wallahua'lam."

Hanani ceria dengan perubahan positif pada diri Hannan, kembar yang selalu dirindui. Meskipun Hannan tidak mampu belajar bersama namun Hanani sentiasa berkongsi apa yang dipelajarinya.

'Moga Allah memberi kekuatan kepada Hannan dan rezekikan peluang terbaik buatnya. Ameen.'

"Kuliah Subuh minggu lepas, Ustaz Khusyairi berpesan 'kalau mahu dihindari penyakit nyanyuk, selalu baca al-Quran sebagai amalan dan solat tahajud' kena jaga hubungan dengan Allah dari awal, bukan bila dah tua baru nak mula berhubungan dengan Allah. Umur kita di dunia singkat saja, kehidupan di akhirat kekal abadi." Ayah menyambung ayat Hanani.

***********

"Ya Allah, aku mohon kepada Mu dengan rahmat dan kasih sayang Mu... Berikanlah yang terbaik buat agama ku, dunia ku, akhirat ku. Andai penyakit ini memberikan kebaikan kepada agama, dunia dan akhirat ku, aku mohon kekuatan dan kesabaran dari Mu untuk menghadirkan aku ketabahan bagi meneruskan kehidupan ini. Andai penyakit ini lebih baik disembuhkan demi agama, dunia dan akhirat ku maka aku mohon kepada Mu kesembuhan agar aku mampu untuk menjulang panji agama Mu.

Ya Allah, ilmuku ini terbatas dan pengetahuanku sangat terbatas, Engkau juga yang lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui."

Airmatanya mengalir, raut wajahnya basah dengan linangan air mata, hatinya terkoyak dengan kehadiran berita yang menyedihkan namun sejadah imannya disimpul kemas. Biar redha dan terus menyulam keyakinan pada Allah.

'La haulawala quwwata illa billah...'


**********

"Ibu, Harith nak kurma."

Harith menarik tangan, tersedar dari lamunan panjang. Subhanallah... Anak kecil itu petah sekali, usianya yang masih kecil dengan susuk yang mungil namun bilah perkataan yang keluar dari mulutnya sepatah-
sepatah tanpa pelat.

"Seorang ibu yang solehah, gagah dan tabah akan melahirkan zuriat yang juga kuat semangat! Tengok semangat Harith ni, bersungguh memanjat nak ambil kurma." Khairil menyuapkan kurma ke mulut Harith sambil Hannan ketawa besar dengan keletah si kecil itu.

*********
"Wahai anakku, telah aku berusaha mencorak peribadiku sebaiknya walau aku bukan yang terbaik. Telah aku berusaha memilih bapa terbaik untukmu, jadilah anak yang soleh... Harith anakku sayang, dirimu umpama kenikmatan semanis redha yang ibu teguk sejak dahulu. Allah sentiasa memberi dengan cara Nya, ibu akan sentiasa berusaha yang terbaik buatmu."

Hannan mengucup lembut dahi Harith. Tidurnya enak berteman zikrullah yang dialunkan suara hati ibu, terasa nusrah Ilahi membantu untuk terus menongkah dunia andai benar yakin itu terus berpaksikan iman kepada Tuhan.

Insya Allah.


Sumber Asal : Di Sini


01 July 2010

:: ~ Ana Telah Bertunang... ~::


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

...........................................................................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

...........................................................................................

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

**Sumber Asal : Link & Link