25 February 2011

Bagaimana Jika ALLAH Mencintai Kita...???~




Lazimnya andai kita mencintai atau merindui seseorang, kita mempunyai keinginan untuk memberitahu orang lain. Seboleh-bolehnya biar semua orang tahu bahawa kita sedang mencintainya. Hati merasa bahagia andai perasaan itu dapat dikongsikan bersama.


Melalui jaringan sosial seperti Facebook, Blog dan Twitter, kita dapat membaca pelbagai luahan mereka yang sedang bercinta. Antaranya:

"Saya sayang abang."

"Saya rindu ibu."

"Saya cinta kamu semua."

Agaknya, bagaimana pula jika Allah mencintai seseorang?

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda :

 "Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!" Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata: "Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Hadis Riwayat Bukhari)

MasyaAllah! Lihatlah cinta Allah..Sungguh luar biasa hebat..

Ketika Allah mencintai seseorang, Allah yang Maha Agung tidak cukup dengan hanya mengatakan "Aku cinta si dia!"

Tetapi Allah memaklumkan kepada seluruh makhluk-Nya.

Apa kata Allah dalam hadis tersebut?

"Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!"

Maka Jibril pun membuat pengumuman :

"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia."

Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.

Oh Ar-Rahman Ar-Rahim, bahagianya mereka yang benar-benar dicintai Allah. Pasti hidup mereka sentiasa tenang dan diberkati.

Bayangkan jika kita semua disayangi Allah SWT. Pasti dunia ini dipenuhi dengan kebahagiaan.

Tidakkah kita mahu menjadi seorang yang benar-benar dicintai Allah?

Namun, selama ini, cinta siapa yang kita kejar?

** Sama-sama kita perbaiki diri kita, muhasabah kembali apa yang telah kita lakukan sama ada baik dan buruknya. Mari! Sama-sama kita mengejar cinta ALLAH & Kita mendekatkan lagi diri kita kepadaNYA kerana DIA takkan mensia-siakan hamba yang MencintaiNYA. InsyaALLAH...~

** Taqorrub Ila Allah....** =)



**~ Sumber :- Artikel iluvislam...~

10 November 2010

Kesetiaan Na'ilah Al Farafishah...~

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين وصلوات والسلام على اشرف الاءنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين....

Alhamdulillah, masih diberi nikmat kesihatan, nikmat iman oleh Illahi pada hari ini. Kaifa halukum jami'an...??? Mudah2an sahabat2 berada dalam keadaan yang baik & sentiasa dipelihara oleh Illahi, InsyaAllah...~

Hari ini, ana ingin berkongsi kisah seorang srikandi islam pada zaman Nabi Muhammad SAW. Merupakan zaujah kepada Amirul Mukminin iaitu Khalifah Uthman bin Affan. Dimana, nama Nailah Al Farafisha ini merupakan nama kepada emel ana sendiri dan ana amat tertarik akan nama Nailah Al Farafishah serta sirahnya. Mari, kita hayati dan ambil manfaat dari kisah ini yang ana ambil dari buku Riwayat Bidadari Syurga, Hasil karya Oleh Akh Munif Ahmad. Mudah2an kita dapat praktikkan dalam kehidupan kita bagaimana kehidupan seorang srikandi yang bersuamikan seorang pejuang ISLAM... InsyaAllah...

          Yang Bijak, Yang Anggun
          Yang Tegas, Yang Lembut
          Dirimu Pelengkap Sifat Wanita,
         Kesetiaanmu Pada Uthman Tiada Tandingan,
         Wahai Nailah Al Farafishah,
         Engkaulah Hiasan Sebaik Permata.


Apabila kekandanya Hindun binti Al Farafishah berkahwin dengan Said bin Al Ash, Na'ilah tidak sangka bahawa suatu hari kelak dia akan berkahwin pula dengan Amirul Mu'minin dan mendapat satu fitnah terbesar yang pernah berlaku pada permulaan islam.

   Na'ilah binti Al Farafishah adalah seorang wanita yang cukup cantik dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi. Dia adalah di antara wanita yang petah berbicara, seorang sasterawan dan juga penyair. Keistimewaan Na'ilah ini telah disampaikan oleh Said bin Al Ash kepada Khalifah Uthman bin Affan. Tanpa berlengah lagi Khalifah Uthman telah mengutus surat kepada Said dan memintanya supaya meminang Na'ilah bagi pihaknya. Maka Said pun melaksanakannya. Tidak lama kemudian, perkahwinan antara Na'ilah dan Khalifah Uthman pun berlaku.

   Na'ilah adalah seorang wanita yang tinggi lampai dan berkulit cerah. Dia sungguh setia dan taat kepada suaminya. Oleh kerana dia mempunyai pandangan dan pentadbiran yang baik, maka Khalifah Uthman sentiasa meminta pendapat dan fikiran darinya dan kemudian membandingkannya pula dengan pendapat dirinya sendiri. Na'ilah juga mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam rumahtangga Khalifah Uthman, di mana isteri-isterinya yang lain tidak mendapat keistimewaan sepertinya.

   Khalifah Uthman bin Affan r.a diberi gelaran "dzun-nurain" yang bermaksud orang yang diberikan dua cahaya. Ini kerana Khalifah Uthman Pernah berkahwin dengan kedua-dua puteri Rasulullah SAW iaitu Ruqaiyah dan Ummi Kalthum namun kedua-duanya telah meninggal dunia. Merekalah yang bertanggungjawab meletakkan Khalifah Uthman kepada kedudukan yang teristimewa di dalam Islam.

   Meskipun Na'ilah bukan dari golongan wanita-wanita Quraisy, namun dia mempunyai kelebihan di dalam kecantikan, kebijaksanaan akal, kepetahan bertutur dan kematangan fikiran. Maka sebab itu dia telah dikahwinkan oleh saudaranya Adh-Diab bin Al Farafishah kepada Khalifah Uthman dan segala keistimewaan yang dimiliknya, Na'ilah telah mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada wanita muslimat yang lain. Pengaruhnya kekal hingga ke zaman pemerintahan Bani Umaiyah.

   Namanya mula diperkatakan di dalam sejarah islam semenjak peristiwa yang menyaksikan pembunuhan ke atas suaminya Khalifah Uthman bin Affan. Sejak itu, dia telah mengalami pelbagai peristiwa pahit sepanjang hayatnya.

   Semasa hayatnya bersama Khalifah Uthman r.a, Na'ilah telah menjalani hidup yang penuh penghormatan terhadap suaminya. Dia begitu ikhlas dan sentiasa berada di sisi suaminya di dalam segala hal. Malah dia telah mempertahankan keselamatan suaminya dengan jiwa raganya. Ketika fitnah melanda dan rumahnya telah dikepong oleh pemberontak, dia kekal berada di sisi suaminya dan menahan segala pukulan pedang dengan tangan dan tubuhnya sebelum pukulan itu terkena pada Khalifah.

   Suatu ketika, salah seorang pemberontak sedang menghayunkan pedangnya untuk menyerang Khalifah Uthman. Serta merta Na'ilah menahan pedang itu dengan tangannya sehingga terputus jari jemari Na'ilah oleh tetakan itu. Na'ilah terus menjerit meminta tolong. Lalu seorang pengawal Khalifah bernama Rabbah segera datang membantunya dan membunuh pemberontak itu. Datang pula pemberontak yang kedua dan sekali lagi Na'ilah segera menahan pedangnya itu dengan tangannya, namun pemberontak itu dapat juga menusukkan pedangnya itu ke perut Khalifah Uthman dan membunuhnya.

   Setelah membunuh Khalifah Uthman, pemberontak itu cuba melarikan diri. Na'ilah mengejarnya sambil menjerit, " Amirul Mu'minin dibunuh orang! Amirul Mu'minin dibunuh orang!", Sedangkan pada ketika itu darah masih mengalir dari jari-jemarinya.

   Orang ramai yang sedang membenteng rumah Khalifah Uthman di luar segera memasuki rumahnya. Di antara mereka ialah Al Hassan dan Al Hussain, putera-putera Ali bin Abu Talib. setelah memasuki rumah itu, mereka mendapati Khalifah Uthman telah mati dibunuh dan mayatnya telah dipotong-potong.

   Berita kematian Khalifah Uthman dibunuh pemberontak telah tersebar begitu luas cepat sekali di seluruh Kota Madinah. Orang ramai merasa amat duka cita. Bahang fitnah telah mula dirasai dan tiada siapa yang tahu bagaimana untuk menjauhi peristiwa hitam ini dari terus berlaku. Sesungguhnya detik hitam ini telah membayangi setiap diri kaum Muslimin ketika itu. Sejak itu, Na'ilah telah memainkan peranannya dengan mengubah hala tuju gerakan islam sesudah itu. Tanpa membuang masa lagi, Na'ilah segera mengutuskan surat kepada Mu'awiyah bin Abu Sufyan dan memberikan peringatan mengenai firman Allah SWT yang bermaksud :

 وإن طائفتان من المؤمنين اقتتلوا فأصلحوا بينهما فإن بغت إحداهما على الأخرى فقاتلوا التي تبغي حتى تفيء إلى أمر الله فإن فاءت فأصلحوا بينهما بالعدل وأقسطوا إن الله يحب المقسطين

" Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mu'min berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu melakukan penganiayaan terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali ( kepada perintah Allah ), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." ( Al Hujuraat : 49 : 9 ).

   Na'ilah telah mengutus surat itu berserta pakaian Khalifah Uthman yang telah koyak dan berlumuran darah. Setelah itu diikatkan segumpal janggut Khalifah yang dicabut dari dagunya oleh Muhammad bin Abu Bakar pada butang baju itu. Dia juga telah mengirimkan kelima-lima jari-jemarinya yang telah terpotong.

   Di dalam utusannya itu juga diceritakan detik-detik peristiwa pembunuhan Khalifah secara terperinci seperti yang disaksikan sendiri oleh Na'ilah dan bagaimana rumah Khalifah Uthman dikepung siang dan malam tanpa sedikit pun bekalan yang diberikan hatta sedikit air. Mereka telah mengepung rumah itu selama 50 hari dan melemparkan batu dan panah sehingga tiga dari penghuni rumah itu terbunuh. Namun Khalifah Uthman tetap melarang pengawal-pengawalnya dari memerangi para pemberontak itu.

   Ini semua masih berlaku meskipun Abdullah bin Az Zubair telah mengeluarkan satu perintah yang bertulis supaya tidak seorang pun yang melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Khalifah Uthman. Namun masih ada diantara mereka yang meningkari perintah itu. Mereka telah memasuki rumah Khalifah Uthman dengan diketuai oleh Muhammad bin Abu Bakar lalu mencabut janggutnya, memukul kepala dan menikam dadanya sebanyak tiga kali.

   Kemudian mereka memukul kuat dahinya dan mengelarnya dengan pedang mereka sehingga luka-luka, padahal Khalifah Uthman masih hidup ketika mereka melakukan perkara ini semua. Tidak cukup dengan ini sahaja, mereka juga cuba untuk memotong kepalanya. Namun dapat ditahan oleh Na'ilah dengan puterinya Syaibah bin Rabi'ah. Kemudian mereka memijak-mijak kedua beranak ini lalu membunuh Khalifah Uthman.

   Setelah Khalifah Uthman terbunuh, tiada seorang pun yang berani untuk memandikan mayatnya. Na'ilah lalu mengutuskan orang kepada Hutaitib bin Abdul Uzza, Jubair bin Muth'im, Abu Jahm bin Huzaifah dan Hakim bin Hizam untuk menguruskan jenazah suaminya. Namun mereka berkata bahawa mereka tidak dapat melakukannya ketika siang. Oleh itu, pada malam itu, di antara Maghrib dan Isya' mereka telah menguruskan jenazah Khalifah Uthman dan disembahyangkan oleh Jubair bin Muth'im. Kemudian dikebumikan jenazah itu di tanah perkuburan Baqi'. Na'ilah telah mendahului jenazah suaminya sambil membawa bersamanya sebuah kampu kecil untuk menerangi kegelapan malam.

   Sesudah pemergian Khalifah Uthman, api fitnah masih tetap menyala dan telah mengakibatkan kematian beribu-ribu manusia. Ia juga telah mengakibatkan persengketaan di antara Saidina Ali bin Abu Talib dengan Mu'awiyah bin Abu Sufyan, ditambah pula dengan api fitnah yang dinyalakan oleh Aisyah r.a. Bertambah semaraklah api fitnah itu sehingga berlakunya perpecahan dan berpuak-puaklah umat islam ketika itu.

   Baju Khalifah Uthman dan jari jemari Na'ilah telah digantungkan di atas mimbar-mimbar masjid untuk menaikkan kemarahan orang ramai supaya mereka memberontak. Na'ilah merasa amat sedih dan menangis terus-menerus setiap kali mengenang hal ini.

   Na'ilah telah dipinang oleh Mu'awiyah. Namun, Na'ilah telah menolaknya. Dia kemudian telah mematahkan gigi-giginya supaya dia kelihatan begitu hodoh sekali sehingga tiada satu lelaki pun yang akan berkehendak kepadanya.

   Na'ilah tidak berkahwin lagi sesudah kewafatan Khalifah Uthman. Walaupun Khalifah Uthman telah wafat, dia tetap setia kepadanya. Dia telah mengatakan : " Demi Allah, aku tidak akan membenarkan lelaki lain menjamahku, di tempat yang dijamah oleh Uthman sama sekali."


** Wallahu'alam... **



  



22 October 2010

Teguran Itu Penting Dalam Kehidupan....~



"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."


Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.

Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.

Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.


Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.



Orang yang Ditegur

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?


Ingat..

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.


      Sumber >> iluvislam.com...~



14 October 2010

~ Wanita Itu Mahal....~

 




   Perempuan begitu penting dalam kehidupan seorang lelaki.

Jika tidak ,Allah swt tidak akan menjadikan Siti Hawa a.s dari tulang rusuk Nabi Adam a.s sendiri untuk memenuhi rasa sunyinya yang keseorang didalam syurga.

=> Perempuan begitu bererti bagi seorang lelaki, kerana tanpa perempuan:

1. hidup seorang lelaki tidak akan sempurna.
2. tidak akan bertambah zuriat di muka bumi.
3. tidak akan bergelar seorang suami.
4. tidak akan menjadi pemimpin dalam rumahtangga.
5. tidak teman untuk bergurau senda.

=> Kejadian perempuan adalah lemah kerana dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok.
Ini menyebabkan ada kalanya ia sukar dibentuk kecuali dengan hikmah dan kebijaksanaan yang tinggi oleh lelaki yang dapat membimbingnya ke arah kebaikan.

=> Perempuan tidak boleh :
    
 1. menjadi wali
 2. menjadi rasul atau nabi
 3. memberi talak

Tetapi dua per tiga daripada perempuan menjadi penghuni neraka.

=>  Keadilan Allah kepada perempuan :

    1. kelonggaran dalam soal-soal ibadah kerana kedatangan haid dan nifas.
    2. tidak perlu berjemaah di masjid atau di surau.
    3. tidak wajib menunaikan solat Jumaat.
    4. tidak disentuh api neraka,jika ikhlas berkhidmat untuk suami dan keluarganya serta memelihara kehormatan diri dan suaminya.

Banyak lagi kebaikan dan keistimewaan yang Allah beri kepada perempuan yang tidak diberi kepada lelaki ,ini membuktikan betapa kasihnya Allah swt kepada hambanya yang bergelar perempuan, wanita, gadis, isteri, ibu atau nenek ini.


KEDUDUKAN DAN KEMULIAAN PEREMPUAN

=> Allah telah menetapkan kedudukan perempuan adalah di belakang lelaki sebagaimana firmanNya dalam surah an-Nisaa ' , ayat 34 yang bermaksud:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka."

Sebab itu wanita solehah ialah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika ketiadaan suami sebagaimana yang Allah tetapkan.

Namun tidak bermakna perempuan hanya menjadi pak turut tanpa ada kuasa menyatakan pendirian, pegangan, pendapat atau lain-lain.

Jauh tersembunyi, perempuan sebenarnya dianugerahkan dengan kuasa pengaruh
yang jika digunakan dengan tepat, lelaki bersedia menurut kehendaknya dan memberi segala haknya.

Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam firmannya, surah Aali-Imran, ayat 14 yang bermaksud :

  "Dihiasi dunia itu (pada pandangan manusia) dengan kecintaan kepada perempuan".

Sabda Rasulullah saw tentang besarnya peranan perempuan ini ialah :

  "Perempuan itu tiang negara, jika baik perempuan di sesuatu negara itu, maka baiklah negara itu, begitulah sebaliknya."


   KUASA PUJUKAN PEREMPUAN

=>Kehebatan perempuan dalam pujuk rayu tidak dapat disangkal lagi.
    Tidak ada perempuan yang tidak mahir dalam seni ini.
    Kaum lelaki boleh dipujuk dan dirayu untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya.

=> Beberapa contoh keruntuhan empayar yang dibina oleh lelaki disebabkan daya pujukan wanita :

1. Napoleon Bonarparte dan Josephine.
2. Anthony dan Cleopatra
3. Hitler dan Matahari
4. Samson dan Delila
5. Abu Lahab dan Hendon

=> Beberapa contoh wanita yang menjadi kekuatan kepada kepimpinan seorang lelaki sehingga berjaya mengatasi segala ujian dan cabaran tanpa melemahkan semangat juang mereka dalam menegakkan kebenaran dan kekuatan agama :

1. Nabi Muhammad saw dan Siti Khadijah serta isteri-isteri beginda yang lain.
2. Nabi Ayub dan Siti Rahmah.
3. Nabi Ibrahim dan Siti Sarah serta Siti Hajar.
4. dan banyak contoh lagi orang-orang muslim yang lain.


KUASA KEJELITAAN PEREMPUAN

=> Hal ini diketahui oleh semua orang.
Kejelitaan perempuan boleh menumbangkan ramai lelaki hingga banyak yang terarah melakukan perkara-perkara yang tidak wajar.

=> Sebaliknya kuasa jelita yang ada pada kaum muslimah boleh menimbulkan kecintaan yang tinggi terhadap Allah di mana seorang isteri boleh mempengaruhi suami dalam hal-hal yang diredhai Allah.


KUASA LAYANAN PEREMPUAN

=> Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu.

=> Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.


KUASA DOA PEREMPUAN

=> Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw :

"Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya :" Kenapa ya Rasulllah ?" Jawab baginda :" Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia."


KUASA TAKWA PEREMPUAN

=> Ketakwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah.
Orang yang paling bertakwa adalah orang yang paling dikasihi Allah.
Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.

=> Kuasa takwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada
pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.

=> Kekuasaan takwa ini pula oleh kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian menatih, mendidik,memelihara dari kecil hingga dewasa.

=> Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw :

"Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung diudara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya)."


KEKALKAN KEMULIAAN PEREMPUAN

=> Kalau demikian tinggi dan hebat kemuliaan dan kedudukan perempuan,wajiblah dipelihara dengan sebaik-baiknya kerana jika Allah mencabut kemuliaan itu, perempuan akan menjadi amat hina hingga tiadalah tempat lain yang lebih berhak baginya kecuali neraka.

Maka berdoalah kamu..

"Ya Allah, kekallah kami sebagai perempuan yang penuh dengan kemuliaan dan berkedudukan tinggi di sisiMu dan peliharalah kami dari ujian yang tidak mampu kami lakukan dan kami memohon kepadaMu agar diberikan kekuatan dalam melaksanakan kebaikan kepada meraka yang berada di sekeliling kami."

Aamiin ya rabbal ' alaamiin.


PANDUAN UMUM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH TERHADAP KEDUDUKAN WANITA

=> Wanita dan lelaki adalah sama dari segi kemanusiaan.
     Mempunyai hak dan kewajiban yang sama dalam melaksanakan tugas-tugas agama.

* Islam menghapuskan tuduhan yang dilemparkan oleh ahli-ahli agama sebelum Islam yang merendahkan kedudukan wanita.

* Islam memerintahkan manusia supaya memuliakan wanita sebagai anak kecil, isteri dan ibu.


KEDUDUKAN WANITA DALAM SYARIAT ISLAM

* Islam menganjurkan supaya wanita diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan/pelajaran yang sama dengan kaum lelaki.

* Islam menetapkan asas-asas institusi keluarga yang menjamin kepentingan wanita.


TANGGUNGJAWAB DAN KEWAJIBAN WANITA MENURUT SYARIAT ISLAM


* Tanggungjawab sebagai hamba Allah
*  Tanggungjawab sebagai isteri
* Tanggungjawab sebagai pemimpin yang membantu suami dalam urusan rumahtangga
* Tanggungjawab sebagai pendidik generasi akan datang.




22 September 2010

Siapa SOLEH dan Siapa SOLEHAH.....???~~~





بيت المسلم في قلبي ** انشاء الله**


Di dunia ini beratus-ratus juta orang mengaku mereka umat Islam, tetapi untuk mencari lelaki yang SOLEH dan wanita yang SOLEHAH agak sedikit.
( Bagi insan yang beriman, nescaya mereka mendapat ganjaran yang berlipat kali
ganda daripada Allah S.W.T)


Firman Allah SWT yang bermaksud :

" Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyuruh manusia melakukan yang makruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar, serta bersegera kepada mengerjakan kebaikan, maka mereka itulah orang yang termasuk dalam golongan yang soleh."
- Surah Ali Imran : 114 -

Lelaki Soleh dan Wanita Solehah pasti mendapat kedudukan istimewa dalam agama kerana mereka mempunyai taraf yang lebih tinggi berbanding Muslim yang lain. Ini kerana perkara yang membezakan di antara manusia
hanyalah ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
" Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah SWT iaitu Nabi-nabi, Para siddiqin, Orang yang mati syahid dan orang soleh. Mereka itulah sebaik-baik teman. Demikian itu adalah kurnia daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui."
- Surah An-Nisa' : 69-70 -


** Petikan >> Mencari Pasangan Hidup Mencorak Bahagia Fitrah Insaniah, hasil tulisan Ust Emran Ahmad, terbitan Karya Bestari.


Kekuatan Silaturrahim Kukuhkan ISLAM...~~


   Islam adalah agama yang mengutamakan persaudaraan tanpa membezakan kedudukan, warna kulit, bangsa atau keturunan. Semua orang mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.
  Sewaktu Rasulullah SAW berjaya mendirikan kerajaan  Islam di Madinah, salah satu cara yang Baginda gunakan ialah dengan mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin. Ini perlu kerana pada ketika itu musuh-musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan negara Islam.

KEPENTINGAN SILATURRAHIM.

  Pada suatu hari, seorang lelaki daripada kabilah Khath'am datang menemui Rasulullah yang mana pada ketika itu Baginda sedang dalam perjalanan bersama para sahabat.
  Lelaki itu bertanya kepada Baginda, " Ya Rasulullah, amal apakah yang paling dicintai Allah?". Jawab Baginda, " Beriman kepada Allah." Lelaki itu bertanya, "Kemudian apa?" Baginda membalas " Menyambung silaturrahim." Kemudian lelaki itu bertanya, " Amal apakah yang dibenci Allah?" Baginda menjawab, " Mempersekutukan Allah." Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian apa lagi ya Rasulullah?" Lalu Baginda bersabda, " Memutuskan silaturrahim."
 Jelas, betapa pentingnya mengeratkan hubungan silaturrahim kerana ia dapat meluaskan persaudaraan sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah. Sebenarnya, dengan mengeratkan hubungan silaturrahim, ia membawa manfaat yang besar kepada pelakunya. Antaranya, Allah akan memperluaskan pintu rezeki dan memanjangkan umurnya.

 " Sesiapa yang suka dibentangkan kepadanya jalan rezeki serta dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menyambung silaturrahim." ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

** Moral of the Sirah : Rasulullah SAW menggalakkan persaudaraan sesama manusia/umat islam. Apabila hubungan silaturrahim dan persaudaraan semakin erat, maka akan hilang segala kesukaran & kesusahan kerana semua masalah yang timbul dihadapi secara bersama-sama dengan  hati yang redha & ikhlas.. InsyaAllah....







17 September 2010

++ Ujian Membuat Kita Lebih Tabah.... ++~~

Hidup ini penuh dengan ujian. Memang perit dan pedih untuk menghadapinya. Tapi kita kena faham konsep "ujian" di dalam perspektif Islam. Kerana sekiranya kita tidak faham dengan jelas, kita akan cepat putus asa, kecewa dan lebih membahayakan apabila kita buruk sangka terhadap Allah SWT. Jadi, bagaimana ingin memujuk hati yang sedang berduka lara itu???


Pujuklah dengan berzikir dan mengingati Allah. Dan bacalah Al Quran. Sesungguhnya, banyaklah sudah isi-isi yang tersingkap di dalamnya. Segala jawapan ada di dalamnya.

*Kenapa aku diuji?

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

(Surah Al-Ankabut ayat : 2-3)


*Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?

"Boleh jadi mau membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

(Surah Al-Baqarah : ayat 216)


*Kenapa ujian seberat ini?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

(Surah Al-Baqarah : ayat 286)


*Rasa Frust?

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."

 (Surah Al-Imran : ayat 139)


*Bagaimana aku harus menghadapinya?

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya mencapai kemenangan)."

 (Surah Al-Imran : ayat 200)

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".

(Surah Al-Baqarah : ayat 45)


*Apa yang aku dapat daripada semua ini?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka."

(Surah At-Taubah : ayat 111)


*Kepada siapa aku berharap?

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya.
Hanya kepadaNya aku bertawakkal."

(Surah At-Taubah : ayat 129)


*Aku dah tak tahan lagi!!!!!!!

"......dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

(Surah Yusuf : ayat 12)