06 July 2010

~ sEmaNis rEdHa... ~




Di hening malam, seorang hamba Allah bangun menghidupkan malamnya. Pada rembulan yang menyinar terang di hujung langit, ada bebintang yang turut melirikkan cahaya. Subhanallah, keindahan yang Allah serikan di malam gelita tidak ramai yang mampu menikmatinya. Tatkala manusia berbondong-bondong melayan mimpi indah dan selimut yang menutupi jasad dan hati mereka, ada hati-hati yang digerakkan Allah, ada jiwa-jiwa yang tergerak untuk Allah. Alangkah bahagianya mereka yang sentiasa berusaha mendapatkan cinta dan kasih-sayang Allah.


"Anakku sayang, qiyamullail itu penawar terbaik untuk menggembur iman, menyubur hati, penyeri jiwa yang lemah bahkan menjadi penggerak sendi dan saraf yang bakal menyegarkan jasadmu. Insya Allah, wuduk yang membasahi tubuh di kala hening akan memberi kesegaran buat jasad dan emosi."

Ibu membelai halus jemari Hannan, aku melihat dari sisi. Terasa kehangatan kasih sayang ibu menyusup di celahan jari Hannan. Dari kejauhan tampak bundar matanya bersinar, alhamdulillah. Hannan perlu dimotivasikan bukan sekadar sudut duniawi tetapi rohnya perlu disuntik dan tiada penawar yang paling mujarab selain penawar dari Nya.

"Insya Allah ibu."


*************

Senyuman dilemparkan biarpun tiada seri di wajah. Hambar. Pucat lesi wajahnya sesuai dengan keadaan diri Hannan yang kritikal. Doktor Muhammad Aqil, neorologist terkemuka di Malaysia sudah mengangkat kedua tangan, bukan menyerah pada takdir namun badan Hannan sudah ampuh, tidak lagi memberi reaksi kepada ubat-ubatan dan vitaman yang diberikan malahan semuanya seakan-akan tidak mendatangkan kesan.

"Puan Humaira, Encik Muaz, saya harap encik dan puan akan menerima berita ini dengan berlapang dada. Keadaan Hannan semakin memburuk, pengalaman saya dalam bidang ini... Hannan punya sekitar 2 hingga 3 bulan untuk bertahan."

Ayah dan ibu terdiam, aku memandang keluar tingkap.

'Ya Allah, kurniakanlah kekuatan buat ibu dan ayah.'

"Saya cadangkan Encik Muaz untuk memberi keizinan pihak kami supaya memberi kerehatan buat Hannan." Doktor Muhammad Aqil memandang tepat di muka ayah.

"Kerehatan yang bagaimana?" Ayah menyoal.

"Kami mencadangkan untuk membiarkan Hannan koma seketika sehingga keadaannya stabil. Tekanan darahnya yang meningkat dan menurun secara mendadak mengkhuatirkan saya, kesakitan yang Hannan alami mungkin tidak tertanggung lagi. Dalam keadaan koma, Hannan akan lebih 'rileks' tanpa tekanan menahan sakit." Doktor tua itu memberi cadangan dan penerangan terperinci tentang keadaan Hannan.

"Saya tak setuju!" Ibu dan ayah serentak menjawab.

'Koma?'

Jauh di hati, hiba melihat Hannan mengerang kesakitan namun di sisi hati yang lain masih mengharap sinar mata Hannan akan terus terbuka, sinar di mata Hannan akan memberikan sinar di hati ibu dan ayah juga aku.

"Hannan, jangan mengalah dik... Terus dan terus yakin dengan Allah." Hanani menggenggam erat tangan kembarnya, dialah permata dan ratu di hati, kami sentiasa bersama dari alam rahim sehingga kini. Berpisah dengan Hannan sama seperti sebahagian diriku dibawa pergi.

Setelah keadaan Hannan pulih sedikit, ayah dan ibu meminta keizinan dari doktor agar Hannan di bawa pulang. Kepulangan Hannan jauh lebih baik buat psikologi dan keadaan fizikalnya berbanding hospital. Semoga Hannan tabah menghadapi ujian dari Allah.

*************

Dalam gelap zulumat malam, tergerak kecil jasad lemah itu... Menarik kain yang menyelimuti jasadnya, kakinya di atur perlahan setapak demi setapak langkah. Dalam keadaan lemah dan kesakitan yang menjalar pada setiap saraf, harus dikuatkan hati untuk bangkit. Kaki yang tidak mampu menapak, akhirnya Hannan merangkak perlahan menuju ke tandas. Pintu tandas dikuak perlahan, paip dibuka kecil dan airnya menyoroti bahagian kecil tubuh Hannan.

'Subhanallah, sejuknya.'

Selesai berwuduk, Hannan mengemaskan langkahnya. Biarpun dalam keadaan merangkak, Hannan bersimpuh rapi di hujung sudut kamarnya. Dengan sinaran rembuhan dari celahan jendela menyinari ruang kecil kamarnya. Cicipan sang cengkerik memberi irama yang turut sama menghidupkan malam bersama Hannan.

Gerakan lemah dan perlahan tubuh kecil yang kesakitan itu, solat didirikan dalam keadaan duduk menghadap kiblat.

Dari kamar ibu, terdengar gayungan air membasahi lantai. Barangkali ibu dan ayah juga sedang merapikan diri untuk menghidupkan malam dengan solat berjemaah. Keluarga kecil yang sederhana, beratapkan langit rahmat Ilahi dan berlantaikan qanaah pada Rabbi, mereka hidup dengan acuan al-Quran dan sunnah Rasulullah. Biar ujian membadai kehidupan, biar ombak menghempas pantai hati segalanya diserahkan pergantungan kepada al-Khaliq, tidak sedikitpun menggoyahkan iman yang dipaut kukuh kepada Allah.

Hannan istiqamah menghidupkan solat tahajud, dihiasi solat taubat dan solat hajat yang menghiasi malam-malamnya berteman bebintang yang turut menghiasi langit dunianya, Hannan terus menghiasi langit hatinya.

***********

"Yakinlah Allah, bersangka baiklah pada Allah. Allah adalah apa yang Hannan sangkakan, kalau Hannan meyakini pertolongan Allah maka bersungguhlah meminta pertolongan dari Allah. Kalau Hannan merasa lemah, maka Hannan akan lemah. Ingat, jangan lupa pada kasih sayang Allah." Ayah mengelus lembut ubun-ubun Hannan, sesuap bubur nasi ditelan perlahan pada kerongkong Hannan. Perit sekali rasanya.

"Hannan masih ingat cerita ibu tentang kisah penggunting rambut yang suka bertanya soalan-soalan yang menguji keimanan orang Islam?" Jari ayah masih mengelus ubun-ubun Hannan sambil ibu menyuapkan bubur nasi.

Hannan menggangguk lemah, sinar matanya sentiasa bercahaya.

Penggunting rambut bertanya kepada seorang muslim, "bagaimana kamu meyakini Allah sedangkan kamu tidak melihat Allah, di sini dan sana ada manusia yang kelaparan, manusia saling bermusuhan dan peperangan rancak dilancarkan?" apa yang dijawab oleh muslim itu bukanlah pada sudut kerohanian tetapi mengikut logika fikiran. "Bagaimana kalau aku mengatakan bahawa di dunia ini tiada penggunting rambut?"

Maka, terkejutlah penggunting rambut itu. "Kenapa engkau berkata begitu?" Maka jawab muslim itu, "Kerana di luar sana ada yang kusut masai tidak terurus rambutnya. Ada yang rambut panjang." Penggunting rambut itu menukas, "Kamu salah, aku kan penggunting rambut. Mereka yang tidak datang kepada aku untuk dirapikan."

Maka muslim itu tersenyum, "Begitulah umpamanya. Bukan Allah itu tiada tetapi manusia itu tidak pergi kepada Allah, tidak meminta pertolongan dari Allah, tidak mendekatkan diri kepada Allah, tidak mengamalkan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Bukan Allah tiada tetapi manusia yang tidak mendekati Allah." Penggunting rambut itu pun terus terdiam.

Ibu tersenyum mendengar Hannan mengulang kembali kisah tersebut. Seingatnya, kisah tersebut diceritakan sewaktu Hannan dan Hanani masih kecil namun kiasan kisah itu diingati anak-anaknya sehingga kini. Alhamdulillah.

***********

Hanani mendakap erat tubuh Hannan, Hannan sudah mampu berdiri walau sekadar beberapa minit. Tiada ubatan yang menyakitkan menjalar di urat tangan Hannan, tiada ubat yang membuat Hannan menangis. Hanya terapi solat tahajud secara istiqamah dan alunan kalamullah yang sentiasa menemani, Hannan disembuhkan Allah dengan cara dan kehendak Nya.

"Ayah nak tahu, Ustaz Kamil bagitau Hanani... 'Dalam setiap ayat al-Quran itu penawar. Setiap ayat al-Quran mampu menggetarkan bahagian saraf tertentu pada tubuh kita. Apabila lengkap 30 juzuk yang dibaca, maka lengkaplah getaran pada setiap saraf pada keseluruhan tubuh kita.' Jadi, kalau kita yakin al-Quran itu penawar zahir dan batin maka kita bersungguh-sungguh membaca dan mengamalkannya insya Allah kita akan sihat. Terapi solat tahajud umpama mengecas 'elektrik' dalam badan kita. Ibu nak tahu, kalau kita mandi awal pagi sebelum solat tahajud ianya lebih membuatkan badan kita sihat! Wallahua'lam."

Hanani ceria dengan perubahan positif pada diri Hannan, kembar yang selalu dirindui. Meskipun Hannan tidak mampu belajar bersama namun Hanani sentiasa berkongsi apa yang dipelajarinya.

'Moga Allah memberi kekuatan kepada Hannan dan rezekikan peluang terbaik buatnya. Ameen.'

"Kuliah Subuh minggu lepas, Ustaz Khusyairi berpesan 'kalau mahu dihindari penyakit nyanyuk, selalu baca al-Quran sebagai amalan dan solat tahajud' kena jaga hubungan dengan Allah dari awal, bukan bila dah tua baru nak mula berhubungan dengan Allah. Umur kita di dunia singkat saja, kehidupan di akhirat kekal abadi." Ayah menyambung ayat Hanani.

***********

"Ya Allah, aku mohon kepada Mu dengan rahmat dan kasih sayang Mu... Berikanlah yang terbaik buat agama ku, dunia ku, akhirat ku. Andai penyakit ini memberikan kebaikan kepada agama, dunia dan akhirat ku, aku mohon kekuatan dan kesabaran dari Mu untuk menghadirkan aku ketabahan bagi meneruskan kehidupan ini. Andai penyakit ini lebih baik disembuhkan demi agama, dunia dan akhirat ku maka aku mohon kepada Mu kesembuhan agar aku mampu untuk menjulang panji agama Mu.

Ya Allah, ilmuku ini terbatas dan pengetahuanku sangat terbatas, Engkau juga yang lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui."

Airmatanya mengalir, raut wajahnya basah dengan linangan air mata, hatinya terkoyak dengan kehadiran berita yang menyedihkan namun sejadah imannya disimpul kemas. Biar redha dan terus menyulam keyakinan pada Allah.

'La haulawala quwwata illa billah...'


**********

"Ibu, Harith nak kurma."

Harith menarik tangan, tersedar dari lamunan panjang. Subhanallah... Anak kecil itu petah sekali, usianya yang masih kecil dengan susuk yang mungil namun bilah perkataan yang keluar dari mulutnya sepatah-
sepatah tanpa pelat.

"Seorang ibu yang solehah, gagah dan tabah akan melahirkan zuriat yang juga kuat semangat! Tengok semangat Harith ni, bersungguh memanjat nak ambil kurma." Khairil menyuapkan kurma ke mulut Harith sambil Hannan ketawa besar dengan keletah si kecil itu.

*********
"Wahai anakku, telah aku berusaha mencorak peribadiku sebaiknya walau aku bukan yang terbaik. Telah aku berusaha memilih bapa terbaik untukmu, jadilah anak yang soleh... Harith anakku sayang, dirimu umpama kenikmatan semanis redha yang ibu teguk sejak dahulu. Allah sentiasa memberi dengan cara Nya, ibu akan sentiasa berusaha yang terbaik buatmu."

Hannan mengucup lembut dahi Harith. Tidurnya enak berteman zikrullah yang dialunkan suara hati ibu, terasa nusrah Ilahi membantu untuk terus menongkah dunia andai benar yakin itu terus berpaksikan iman kepada Tuhan.

Insya Allah.


Sumber Asal : Di Sini


No comments:

Post a Comment