Assalamu'alaikum...
"Sya'aban bakal menutup tirai,
Ramadhan menjelma lagi,
wahai umat islam yang disayangi,
Marilah kita berpesta ibadah lagi...."
<< Ahlan Wasahlan ya Ramadhan Kareem >>
Digelar 'bulan umat', kedatangan Ramadhan sentiasa dinantikan seluruh umat Islam. Ketika inilah, ada yang memasang azam untuk menambah mana yang kurang. Lebih-lebih lagi berkaitan amalan diri dan pengisian rohani.
Bagi yang masih sedikit leka, Ramadhan dirasakan 'platform' paling ideal untuk mencuba-cuba mengubah diri. Juga tidak lupa bermuhasabah serta berlajar menjauhi perilaku yang mendorong ke arah perkara maksiat.
Jika sebelum ini niat untuk berubah kerap terbantut dek godaan kiri, kanan, atas, dan bawah, ramai mengakui Ramadhan mampu mengubah situasi itu. Itulah yang dikatakan bulan rahmat. Pintu syurga dan langit dibuka seluas-luasnya. Pintu neraka pula ditutup rapat.
Manakala musuh utama manusia iaitu syaitan dan jin dibelenggu kemas. Itu hadiah Allah SWT kepada kita. Terpulang kepada kita, hendak atau tidak, bersungguh-sungguh atau main-main dalam menghayati 1000 keistimewaan Ramadhan yang pastinya tidak ada pada bulan-bulan lain.
Pun begitu, cabaran melawan nafsu tetap menjadi musuh utama ketika menjalani ibadah puasa. Namun, jelas tujuan berpuasa itu sendiri adalah untuk mengekang godaan yang datang dalam pelbagai cara. Allah telah memberi ruang kepada kita untuk 'top-up' pahala bagi lorong-lorong yang masih ada dalam diri.
Jangan hanya sebatang kerana sebatang rokok atau paling tidak segelas air kosong, kita sudah mengaku kalah. Mudah melupakan ganjaran berlipat kali ganda sekiranya tindakan tersebut diganti dengan ucapan zikir memuji kebesaran Illahi.
Perlu diingat, berpuasa bukan hanya semata-mata menahan lapar dan dahaga. Ramadhan adalah bulan ibadah. Bersedekah, membaca Al Quran, melakukan solat sunat serta memelihara pancaindera daripada mendekati perkara-perkara lagha antara amalan yang mampu memberikan seribu kebaikan dan ganjaran kepada kita.
Inilah perlaburan yang seharusnya direbut oleh semua golongan baik remaja atau sesiapa sahaja. Tiada penipuan. Malah pulangan yang menanti kelak pastinya lebih lumayan.
Ramadhan tibanya hanya setahun sekali. Belum tentu kita masih berpeluang untuk menemuinya lagi pada tahun hadapan. Jadi ketika masih berkesempatan ini, raikannya dengan amalan-amalan yang boleh meningkatkan ketakwaan kita kepadaNya. Seterusnya, menjana pada perubahan diri yang lebih bersifat fitrah. Bukan hanya bila tiba bulan Ramadhan sahaja.
Wallahu'alam...
** Selamat beribadah...
** Salam Ramadhan Kareem... Moga 'amalan kita diberkati oleh NYA... insyaAllah..
** Ikhlaskan niat, sucikan & muhasabah diri, moga temui ketenangan yang diredhai.. InsyaAllah..**
No comments:
Post a Comment