19 August 2010

** Wahai Lelaki, Jangan Ganggu Perempuan Aku....**

                                       
    

 i
Baitul Muslim... Wahai Lelaki, Lindungilah Kami (Wanita) dengan sebaik-baiknya, Jagalah kami agar menjadi wanita/anak/isteri & ibu yang solehah, mentaatimu sebagai suami kami, mentaati/menunaikan perintah Allah dengan sebaik2nya.. Didiklah kami & anak2 dengan ajaran yang telah islam gariskan.. Mudah2an kehidupan kita berkat di dunia & akhirat.. InsyaAllah...


   Sepanjang kehidupan saya, saya ada jumpa pelbagai jenis lelaki. Tapi, yang menariknya, sepanjang hidup saya ini juga, saya sukar hendak berjumpa lelaki yang tidak teruja kepada perempuan.


“Ini fitrah la bro, fitrah”

Ya. Sebab fitrah lelaki, pasangannya mesti adalah perempuan. Dua jantina ini macam magnet kutub utara kutub selatan. Saling tarik menarik.

     Hal ini menyebabkan kita boleh melihat, golongan-golongan lelaki yang akan bersiul bila perempuan cantik lalu, ada pula yang minta nak jalan sekali, kadang-kadang sengaja ambil tempat duduk di dewan kuliah sebelah perempuan dan berusaha bersungguh-sungguh nak buat perempuan itu bersembang dengannya.

Persoalannya, apakah benar begitu caranya kita melayani fitrah kita?

Saya tidak nampak itu melainkan hanya gangguan.

Maka dalam post ini, saya hendak nyatakan kepada kamu wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan ini.

Di dalam Surah An-Nur, ayat 30, Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ayat selepas itu, ayat 31, Allah SWT berfirman pula kepada perempuan perkara yang sama:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

Kenapa, Allah menegur lelaki terlebih dahulu dalam hal ini?

Kerana biasanya, dalam hal ini, lelaki yang akan tumbang terlebih dahulu. Lelaki kadang-kadang mudah jatuh dengan pandangannya. Dia mudah rasa teruja.

Sebab itu, kalau kita lihat, yang bersiul-siul adalah lelaki kepada perempuan. Saya tak pernah nampak lagi perempuan bersiul kepada lelaki. Sebab tu yang biasa dilihat adalah lelaki yang tanya kepada perempuan: “Boleh I duduk sebelah you?” Sebab itu juga yang biasa dilihat adalah lelaki yang offer: “Jalan sorang je, nak teman?”

Tetapi lihatlah apa pesanan Allah kepadamu wahai lelaki.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”

Jika kamu beriman, maka kamu akan menundukkan pandangan kamu, dan menyekat nafsu kamu dari menguasai diri.

“Ini fitrah la bro. Kena cepat la mengorat. Nanti terlepas”

Ya. Saya akui itu fitrah. Saya tak nafikan. Saya tidak pernah menyalahkan fitrah itu. Tetapi, semua perkara ada caranya. Contohnya: Fitrah manusia adalah Islam. Tapi kita tidak boleh pakai hentam sahaja mengamalkan Islam. Ada cara solatnya, ada cara zikirnya, ada cara buat kebaikannya. Begitu juga dalam fitrah lelaki perempuan ini. Sudah ada batas-batas yang Islam tetapkan untuk kita.

“Kalau ikut batas-batas ni, lembab la bro. Kang orang kebas”

Hem… Lembab kah? Ya. Saya akui, memang lambat sikit kalau ikut jalan yang syara’ bagi.

Tapi, pernah dengar tak kata-kata: “Biar lambat, asal selamat”?

“Itu kat jalan raya la bro, masa memandu”

Ya, kita ni dalam ‘jalan raya’ hendak pulang kepada akhirat, dan kita sedang ‘memandu’ diri kita untuk pulang kepada Allah.

Islam sudah mengaturkan batas pergaulan lelaki dan perempuan. Ada step-stepnya kalau nak ambil perempuan jadi isteri. Kenapa semua itu Islam susun? Sebab nak jaga kemaslahatan manusia. Cuba kamu fikir, kalau kamu main mengorat je perempuan yang kamu jumpa, perempuan yang lalu depan kamu, perempuan yang kamu nampak cantik, banyak kebaikan atau banyak keburukan?

Mana kamu tahu perempuan tu single? Mana kamu tahu perempuan tu belum bertunang/kahwin ke? Sekali kamu mengorat, jatuh hati pula perempuan itu pada kamu, kan dah haru biru rumah tangga/hubungan perempuan itu dengan suami/tunangnya? Kamu dah rosakkan hidup orang. Kemudian, bila kamu mengorat-mengorat ni, nama kamu jadi baik ke? Atau orang akan cop kamu dengan pelbagai gelaran yang tidak menyenangkan? Kamu rosakkan pula diri kamu, dan kamu dah sia-siakan ibu bapa kamu yang membesarkan kamu dengan susah payah.

Tambahan, stylo mengorat ni, di mata saya pun, tak bersih langsung. Apa yang kamu nak harapkan dari jalan yang Allah larang? Ada ke keberkatan di dalamnya? Adakah Allah akan kira ‘mengorat’ kamu tu sebagai amal? Bagaimana kondisi iman kamu ketika mengorat? Ketika kamu bersiul-siul, offer itu ini, duduk sebelah perempuan, bagaimana hubungan kamu dengan Allah?

“Ala bro, nanti bila dah dapat, dah kahwin, kita taubat la”

Adakah sebuah rumah itu, akan bertahan lama dengan bahan binaan yang tidak berkualiti? Adakah sebuah rumah itu cantik, dengan hiasan-hiasan kotor? Dan belum tentu lagi, kita ‘mampu untuk bertaubat’ atau ‘sempat untuk bertaubat’ atau ‘teringat untuk bertaubat’ nanti.

Jangan sempitkan pandangan kamu wahai lelaki. Jangan gopoh mengejar masa hadapan. Kita tidak mahu masa hadapan yang lekeh. Kita tak mahu mendirikan hubungan kita dengan perempuan hanya kerana suka, hanya kerana dia cantik, hanya kerana tak tahan nafsu. Apa yang kamu hendak buat bila cantik perempuan itu pudar nanti? Apa yang kamu hendak buat bila kamu tidak lagi bernafsu dengannya nanti? Lebih besar lagi, apakah kamu rasa, dengan keadaan kamu, kamu boleh membawa pasangan kamu itu berdiri di hadapan Allah dengan baik?

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan di hadapan kamu.

Jika kamu inginkan perempuan untuk menemani kamu, apa kata kita ambil jalan yang Islam tetapkan. Walaupun diakui agak lambat, tetapi jalan ini amat bersih. Jalan yang menjaga hati. Dalam masa kita mencintai perempuan itu, hubungan kita dengan Allah tidak terganggu. Mengambil jalan yang Islam tetapkan ini juga, menunjukkan keseriusan dan kematangan anda. InsyaAllah, Allah akan memberkati bukan setakat anda dan pasangan anda sahaja. Tetapi Allah akan berkati seluruh keluarga anda, harta anda, rezeki anda, keturunan anda, kerana anda telah memulakan perjalanan membina keluarga ini dengan jalan yang diredhai-Nya. Mustahil Allah akan membiarkan hamba-hamba yang taat kepada-Nya.

Apa yang ada bila kamu mengorat-ngorat? Apa yang kamu dapat? Kamu sebenarnya telah merosakkan diri kamu.

Malah, secara tidak langsung, kamu merosakkan nama keluarga kamu di mata manusia, merosakkan pula taraf lelaki di mata dunia, dan merosakkan akhirat kamu di hadapan-Nya.

Hentikanlah.

Seorang ibu ada menceritakan kepada saya perihal anak perempuannya di universiti.

Katanya: “Makcik risau la Hilal dengan keadaan sekarang ni. Anak makcik tu, entah berapa kali kena kacau. Bila jalan, ada lelaki minta nak teman. Bila duduk dalam kuliah, ada lelaki nak minta duduk kat sebelah. Makcik tak suka la lelaki macam tu. Tak soleh.”

Kalau saya, saya pun tak suka. Bayangkan wahai lelaki, orang buat anak perempuan kamu macam itu? Atau ada lelaki tiba-tiba mengorat mak kamu? Atau ada lelaki lain nak ‘tackle’ isteri/tunang kamu? Kamu puas hati? Boleh kah kamu kata pada diri kamu ketika itu: “Biarlah, dah fitrah…”

Boleh kah?

Sebab itu, Allah melarang kita mengikuti langkah-langkah syaitan dan mengambil Islam itu secara sempurna. Nak mengorat perempuan pun, kena ikut cara Islam ajarkan. Lebih selamat, lebih terjaga, dunia dan akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah Al-Baqarah ayat 208.)

Jadi wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku.

    Kenapa saya kata ‘perempuan aku’? Khas kepada orang yang saya suka sahajakah? Khas kepada adik perempuan saya sahaja kah?

Tidak.

Saya tidak suka lelaki, menganggu mana-mana sahaja perempuan yang ada. Saya letakkan ‘perempuan aku’ kerana saya rasa bertanggungjawab atas perempuan-perempuan yang ada. Perempuan di mata saya amat mulia. Jadi saya tidak suka perempuan itu rosak, dirosakkan. Sebab perempuan, mereka akan melahirkan anak-anak yang membentuk masa hadapan dunia. Kalau perempuan rosak, maka rosak lah masa hadapan kita.

Pada saya, anda pun wahai lelaki, perlu merasakan apa yang saya rasakan.

Allah SWT telah berfirman:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,” (Surah An-Nisa’ ayat 34.)

Maka bro, apa kata kamu berhenti mengorat-ngorat ni.

Kita lelaki, dipertanggungjawabkan menjaga perempuan dengan baik. Bukan merosakkan mereka.

Kalau suka, jom kita ambil cara yang bersih, cara yang baik, cara yang diredhai Allah SWT.

Saya berani berjanji yang anda akan menjadi lebih bahagia, lebih tenang, lebih senang apabila anda mengikuti apa yang telah Allah tetapkan. Anda perlu yakin, kesabaran anda dalam mengikuti perintah-Nya, akan terbayar. Sebab janji-janji Allah itu adalah benar. Jangan anda rasa terganggu bila melihat orang lain melanggar perintah-Nya. Kita, teruskan dengan ketaatan kita.

“Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.” (Surah Ar-Rum ayat 60.)

Tundukkanlah pandangan, jagalah kemaluan, pertahankanlah kehormatan.

Kita lelaki, adalah ketua keluarga, pemimpin kepada perempuan. Kalau kita rosak wahai lelaki, maka keluarga itu akan rosak dan tidak stabil, seperti kapal kehilangan nakhoda.

Mari sama-sama kita lakar masa hadapan kita, dengan lakaran keimanan, ketaatan kepada-Nya.



Ps: mungkin ada perempuan yang nak kongsi betapa dia tidak suka dikacau-kacau lelaki, mungkin ada ibu bapa nak kongsi betapa hatinya tidak senang anak perempuannya dikacau-kacau orang atau anak lelakinya menjadi pengacau, mungkin ada lelaki yang nak bagi nasihat kepada dirinya dan lelaki-lelaki lain, maka dipersilakan dengan penuh kehormatan.





** Salam'alaik... Artikel diatas ana ambil dari Blog Akh Hilal Asyraf..  Sedikit perkongsian dari beliau yang perlu kita ambil pengajaran, baik dari lelaki mahupun wanita.. Sama2 ambil pengajaran apa yang beliau sampaikan.. Moga Bermanfaat.. InsyaAllah... =D

                                                

<< Sumber Artikel : Langit Illahi.com >>
                                             
        
                                      

    

No comments:

Post a Comment