10 June 2010

~Renungan buat yang bergelar MUSLIMAH......~




Assalamu'alaikum wbt....

Disini, ana ingin sekali berkongsi artikel untuk renungan kita bersama khususnya buat para muslimah sekalian, termasuk diri ana sendiri.. Sama-sama kita ambil sebagai renungan & pengajaran buat diri kita.. InsyaAllah ye.. hehehe.. 

Kata orang "bila dah sayang, semuanya indah belaka".Dengan perkataan lain , sesuatu yang indah itu tidak dapat diukur dengan satu alat pengukur, seperti kata orang alam ini indah, bergantung kepada rasa dan pandangan masing-masing, bergantung kepada rasa dan pandangan orang yang mengatakannnya. Oleh itu sesuatu yang indah, ukurannya terletak kepada orang yang bersangkutan sahaja. Jika seseorang itu tergoda dengan seorang perempuan dan merasakan bahawa perempuan itu amat cantik tetapi adalah mungkin orang lain tidak merasakan sedemikian.Oleh kerana itu pemuja kecantikan adalah fitnah dan memburunya akan membuka jalan-jalan fitnah yang lain.

Antara para penyair dan para solihin serta muttaqin mereka tidak sependapat dalam memandang dan menilai sesuatu objek yang indah, namun kedua-dua golongan ini sependapat bahawa keindahan itu adalah sesuatu yang menarik dan disukai.Titis embun yang melekat pada bebungaan , oleh penyair boleh dianggap sesuatu hal yang indah yang
diciptakan sedemikian rupa olah kuasa langit.Manakala bagi para solihin dan muttaqin memandang akan hal itu sebagai bukti bahawa tumbuhan juga berzikir dan beribadat kepada Khaliknya… Seperti inilah pandangan dan penilaian seseorang terhadap keindahan bergantung kepada penerimaan hati dann perasaan seseorang.

Berbicara soal keindahan sebenarnya kita tidak dapat menyangkal pengertian keindahan yang terdapat pada diri wanita dan daya tarikan yang ada pada mereka. Ramai penyair yang tertarik dengan suara wanita, terkadang mereka tenggelam memuji dan memuja wanita. Lihat sajalah lirik-lirik lagu yang banyak memuji kecantikan seseorang wanita, sedang Islam menegaskan bahawa suara wanita itu adalah aurat yang mesti ditutup dengan diam, kerana suara mereka kunci hati lelaki yang dapat membuka pintu untuk pelbagai fitnah.


Kerana sebab yang sama, Allah melarang perempuan melembutkan suara mereka di hadapan lelaki, sebab suara yang demikian akan mengundang reaksi yang tidak baik di hati lelaki yang mengidap penyakit. Yang dimaksudkan dengan hati yang sakit ini bukanlah kerana urat-urat darah yang tidak berjalan lancar atau radang paru-paru yang selainnya daripada penyakit jasmani(fizikal), akan tetapi ia adalah hati yang dihuni oleh penyakit syahwat, yang apabila ada sedikit sebab sahaja ia pun bergelora dan terangsang ingin menerkam sahaja.


Kalau mata suka memandang kepada sesuatu yang indah dan molek, telinga pula suka mendengar suara atau bunyi yang merdu dan manja serta sedap didengar. Buktinya lihat sahajalah bagaimana perhatian lelaki apabila mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi perempuan.


Ramai lelaki yang menghafal banyak senikata lagu tetapi tidak boleh menghafal bacaan sembahyang. Seorang penyair buta, Basyar bin Baroh bermadah, "Wahai teman, cinta bukan milik sebahagian orang, cinta bukan bagi orang yang celik sahaja tapi ia juga dimiliki oleh orang yang dapat mendengar kerana telinga lebih dahulu mencintai daripada mata".


Jadi fitnah yang ditimbulkan oleh suara itu tidak terbatas hanya pada suara penyanyi perempuan sahaja tetapi ianya juga boleh timbul daripada semua suara perempuan. Sehingga ketika dalam solat pun wanita tidak boleh mengangkat suara sekiranya imam (imam lelaki) tersalah bacaannya tetapi disuruh menepuk tangan sahaja. Suara wanita
itu ditakuti mengganggu kekusyukan orang lain. Sesungguhnya, nabi Muhammmad SAW telah memperingatkan fitnah suara wanita ini dengan sabdanya:
" Sesiapa yang duduk mendengar suara perempuan menyanyi pada hari
kiamat kelak telinganya akan disumbat dengan ini (benda cair)". Kerana biasanya lagu itu akan menggerakkan nafsu yang ada dalam hati seseorang dan ini akan menghalang seseorang itu daripada mengingati Allah dan bersembahyang. Kemudian membuatkan seseorang itu suka kepada perkara-perkara yang haram. Bergurau senda dengan perempuan adalah satu sebab paling kuat untuk mendengar suara mereka , suara yang menjadi pesona luar biasa bagi lelaki.

Kerana tertariknya mereka kepada suara perempuan maka mereka memandangnya sebagai satu perkara yang harus dipuja. Apakah hal ini bukan fitnah namanya? Kebanyakan wanita setiap kali bercakap akan diikuti dengan senyuman. Ini adalah adat mereka. Dengan cara ini barangkali mereka merasa harga diri mereka terjaga. Ini juga fitnah yang dahsyat.


Sekarang kita berpindah dari fitnah suara dan perkataan kepada fitnah mata dan pandangan, dari fitnah yang boleh bercakap kepada fitnah bisu. Adakalanya kebisuan itu lebih bermakna daripada ratusan kata-kata. Ada sesetengah perempuan gemar bercakap dengan lelaki,
mereka tidak merasakan ianya satu kesalahan. Di samping bercakap dengan mulut, mereka juga bercakap dengan pandangan dan isyarat mata.


Ada juga wanita yang tidak gemar bercakap dengan lelaki, cukup dengan pandangan mata mereka sahaja. Rupa-rupanya kepandaian bercakap dengan mata ini adalah sifat yang dimiliki oleh semua wanita.Tidak ada pengecualian antara mereka yang pemalu atau tidak.Hubungan antara mata dan hati adalah hubungan yang tidak dapat disembunyikan. Apa yang terdetik di hati, akan kelihatan di mata.


Di dalam al-Quran telah digambarkan bahawa selamanya hati dengan mata mempunyai hubungan yang rapat. Allah mengatakan bahawa setiap yang tersembunyi di relung hati dan yang terkandung pada mata adalah jelas dengan ilmuNya. Firman Allah yang bermaksud:
"Allah mengetahui pengkhianatan mata dan apa yang tersembunyi di dalam hati".

Yang menjadi fitnah bukanlah kerana mata perempuan itu indah dan mempersonakan sahaja, bukan pula kerana perempuan itu mempunyai bulu mata yang panjang dan alis yang lentik sehingga mudah menerobos ke dalam tanpa izin , bukan pula kerana anak mata hitam pekat berkilat atau kebiru-biruan. Yang sebenarnya fitnah itu adalah kemampuan wanita itu menggunakan matanya dalam menyatakan keinginan hatinya, melontarkan pandangan yang lembut seolah-olah ia mengajak dan memanggil lelaki.


Agar tidak terpengaruh oleh kecantikan dan pesona mata perempuan , Islam menyuruh supaya jangan memandang mereka dengan arahan supaya kaum muslimin dan muslimat agar menundukkan pandangan mereka. Kerana memandang sesuatu yang menarik hati akan mudah jatuh cinta kepadanya. Demikian juga kaum wanita, diperintah agar tidak memandang kaum lelaki dan mengelakkan diri daripada dipandang oleh lelaki. Oleh kerana itu, dia sendiri merupakan fitnah yang berganda. Pertamanya, kecantikannya akan menggoda hati lelaki dan keduanya pandangan matanya mengisyaratkan apa yang diingini hatinya.


Perempuan juga memiliki kuasa sakti yang menggoncang perasaan lelaki dengan hanya melepaskan pandangannya kepada lelaki. Dengan matanya perempuan boleh menundukkan lelaki dan jatuh cinta kepadanya. Tidak ada hati lelaki yang tidak luluh apabila perempuan memandangnya dengan mata yang bercahaya penuh kerinduan atau dengan mata yang
digenangi air mata. Sepasang mata perempuan adalah fitnah.


Adakalanya ia menggunakannya dengan pandangan yang lembut dan jernih, adakalanya dengan lelehan air mata. Dengan kedua-dua cara ini mereka boleh mencapai hasrat mereka. Kata orang , fitnah yang timbul dari mata dan suara sama-sama merbahaya kerana perempuan tahu mereka memiliki kedua-dua senjata ini. Mereka kadang-kadang tidak memakainya kepada yang disuruh iaitu suami mereka tetapi menggunakannya untuk lelaki lain.

Oleh itu Islam melarang mereka memandang benda-benda haram seperti wanita memandang lelaki ajnabi dan juga sebaliknya kerana pandangan itu lamanya cuma satu atau dua saat tetapi kesannya kekal di dalam hati sepanjang hayat.


Salah satu yang menarik perhatian lelaki pada diri seseorang perempuan adalah dandanan rambutnya. Perempuan tahu akan hal ini. Oleh itu perempuan berusaha menyisir dan membentuk rambut mereka supaya lebih menarik minat dan perhatian kaum lelaki. Selalunya perempuan berhias itu adalah bertujuan untuk mempamerkan kecantikannya
terutama kepada lain jantina dan ia merasa megah apabila dipuji oleh lain jantina akan kecantikannya itu.


Apabila suara wanita yang lembut dan intonasi yang sedap didengar mampu menggetarkan hati lelaki, mata yang dicelak dapat menundukkan hati lelaki maka rambut yang cantik dapat menawan hati lelaki.


Oleh kerana itu Islam mewajibkan kaum wanita memakai hijab..menutup aurat. Dengan menutup aurat maka kaum wanita akan terpelihara daripada dosa dan noda serta fitnah, juga ia meletakkan wanita pada tempat yang selamat dari penglihatan kaum lelaki yang ada penyakit di dalam hatinya. Rasullullah bersabda yang bermaksud, "Ada dua golongan yang bakal menghuni neraka di mana belum pernah aku melihatnya, iaitu golongan yang memiliki cambuk seperti ekor lembu, mereka memukul wanita dengannya dan wanita yang berpakaian seperti telanjang , memereng-merengkan kepalanya seperti bonggol unta. Mereka ini tidak masuk syurga, tidak mencium bau syurga dan sesungguhnya bau syurga itu boleh dicium dari jarak yang sangat jauh".


Sesungguhnya kita sebagai wanita muslimah yang mempunyai agama dan maruah diri, janganlah kita melakukan sesuatu untuk memuaskan nafsu semata-mata, tetapi ingatlah bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara sedang yang kekal hanyalah Allah dan kehidupan yang kekal adalah kehidupan akhirat yang mana telah dijanjikan oleh Allah SWT
kenikmatan syurga yang tiada tolok bandingnya bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah…

Wallahu'alam....

No comments:

Post a Comment